“SAYA memang tak boleh apabila bercakap pasal arwah atuk, pasti akan menangis sebab terlalu banyak kenangan,” ujar cucu artis legenda, Allahyarham Tan Sri SM Salim iaitu Wahida Zamri yang tidak dapat menahan air matanya daripada jatuh.
Wahida, 39, ditemui pada Konsert Senandung Abadi tribute buat bintang legenda Allahyarham Tan Sri SM Salim dan Datuk Sharifah Aini di Auditorium Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Dia yang menjadi artis jemputan untuk konsert anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengakui terharu apabila usaha mengenang semula lagu-lagu SM Salim mendapat sambutan meriah.
“Ini adalah kali pertama saya dijemput dalam program tribute buat SM Salim. Walaupun hanya menyanyikan lagu Pandang-Pandang Jeling-Jeling bersama artis-artis lain, peluang ini membuatkan saya teruja.
“Dari kecil saya selalu bersama atuk ke mana sahaja dia pergi. Boleh dikatakan saya antara cucu yang rapat dengan beliau. Saya ingat lagi, atuk bawa saya bertemu dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza yang berduet bersama atuk dalam lagu Pandang-Pandang Jeling-Jeling,” ujarnya.
Tambahnya dia sering mengikuti datuknya memandangkan penyanyi tersebut tidak sihat dan perlu menaiki kerusi roda.
Ditanya tentang pesanan SM salim yang masih diingati sehingga ke hari ini, Wahida berkata arwah memintanya untuk berhati-hati jika ingin bergelar penyanyi kerana tidak semua orang berhati baik.
“Kalau boleh dia tak mahu kami ceburkan diri dalam bidang seni. Arwah cakap dia tak nak kami ditipu. Iyalah, sepanjang jadi artis, arwah pernah ditipu dari segi bayaran dan sebagainya,” kongsinya. – WILAYAHKU