CUBAAN untuk menimbulkan persepsi bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiktiraf negara haram Israel adalah bersifat dangkal, kata Pengerusi MPN Wilayah Persekutuan Datuk Azman Abidin.
Beliau berkata Malaysia tidak pernah dan tidak akan sesekali mempunyai sebarang hubungan diplomatik bersama rejim zionis yang melakukan kekejaman yang sangat dasyat kepada rakyat Palestin.
“Saya menyeru seluruh pemimpin masyarakat untuk bersama melihat perjuangan ini dari kaca mata kemanusiaan dan mengelakkan mempermainkan isu ini untuk hanya sekadar mendapatkan sokongan politik murahan.
“Hentikanlah memutarbelitkan isu ini dengan elemen fitnah dan naratif yang diselewengkan hanya semata-mata kerana perbezaan pegangan politik semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian berhubung tular isu baru-baru ini apabila terdapat suntingan video yang disebarkan dengan berniat jahat untuk memberi gambaran Anwar telah mengiktiraf negara haram Israel semasa temubual dengan media antarabangsa.
Azman berkata perkara itu turut dimainkan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang yang tidak bertanggungjawab demi meraih modal politik melalui gambaran fitnah dan sangkaan jahat.
Sementara itu, Azman yang merupakan setiausaha politik kepada perdana menteri berkata Anwar telah memperjuangkan solidariti terhadap saudara Islam di Palestin semenjak beliau berusia muda hingga kini.
Katanya, Anwar sebagai pemimpin negara terus konsisten membawa perjuangan itu di peringkat antarabangsa.
“Keakraban beliau bersama pemimpin Palestin sejak zaman Yasser Arafat, Mahmud Abbas sehinggalah Ismail Haniyeh sudah diketahui dunia berdekad lama malahan beliau pernah dinamakan sebagai ‘anak Palestin’ oleh Yasser Arafat atas kelantangan beliau membawa perjuangan ini di peringkat global.
“Ketika berada di Riyadh beberapa hari lalu Anwar telah mengusulkan agar Israel disingkirkan dari keanggotaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.
Menurut Azman, langkah berani itu dilakukan secara terbuka dan jelas membuktikan pendirian tegas beliau terhadap dasar penindasan yang dilakukan oleh Israel.
Beliau berkata gesaan beliau untuk membantu membina semula Gaza yang telah musnah akibat serangan Israel telah mendapat sokongan yang padu oleh pemimpin negara arab dan Islam.
“Ayuh kita pamerkan solidariti terhadap rakyat Palestin merentasi batas kepartian dan terus bersama mendoakan kemenangan buat rakyat Palestin dalam menentang kezaliman Israel,” katanya. – WILAYAHKU