CUBAAN seorang lelaki tempatan untuk menyeleweng 500 liter minyak diesel bersubsidi berjaya ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi Ops Tiris 3.0 pada Ahad.
Menurut Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain, kenderaan tersebut ditahan sepasukan penguatkuasa KPDN di sebuah stesen minyak di sini.
Katanya, kenderaan terbabit telah diubahsuai dan mempunyai tangki besi tambahan pada struktur bawah kenderaan.
“Pemeriksaan lanjut menjumpai dan menyita lebih kurang sebanyak 500 liter minyak disyaki Diesel telah selesai diisi ke dalam tangki besi tambahan tersebut dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM16,075.
“Seorang lelaki warga tempatan berumur 51 tahun yang merupakan pemandu kenderaan berkenaan ditahan dan diambil keterangan bagi membantu siasatan bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122),”katanya kepada pemberita pada sidang media, pada Isnin.
Junaidah berkata, kejayaan menumpaskan kegiatan penyelewangan itu adalah hasil daripada risikan yang dilaksanakan selama seminggu selepas menerima beberapa aduan daripada orang awam.
“Kes disiasat bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan,”katanya. – WILAYAHKU.