JABATAN Meteorologi (METMalaysia) memaklumkan cuaca panas dan kering akan berterusan susulan negara kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga penghujung Mac depan.
Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata, dalam tempoh tersebut litupan awan dan taburan hujan kurang di kebanyakan tempat terutamanya di kawasan utara Semenanjung termasuk Perak, Pahang dan Kelantan.
Tambah Muhammad Helmi, ketiadaan hujan dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan cuaca lebih panas dan kering berbanding kebiasaan.
“Cuaca panas yang dialami pada ketika ini adalah satu fenomena berulang yang berlaku saban tahun pada setiap Februari hingga Mei. Dalam tempoh ini, suhu maksimum harian boleh melebihi 35 darjah Celsius pada awal petang.
“Setakat ini, suhu tertinggi yang dicatatkan oleh stesen meteorologi utama METMalaysia adalah 36.9 darjah Celsius iaitu di Chuping, Perlis pada 8 Februari lepas.
“Berikutan fenomena El Nino kuat yang sedang melanda dunia pada ketika ini, dijangkakan suhu maksimum harian di negara kita boleh menjadi lebih tinggi dikebanyakan tempat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya lagi, dalam keadaan cuaca panas, semua pihak dinasihatkan supaya mengambil langkah penjimatan dalam penggunaan air.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk hadkan tempoh berada di luar bangunan bagi mengelakkan pendedahan kepada cuaca panas.
“Ikuti saranan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengekalkan keadaan sihat semasa cuaca panas,” ujarnya.
Menurut Muhammad Helmi, METMalaysia sentiasa memantau keadaan cuaca di seluruh negara.
“Orang ramai disarankan supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial METMalaysia,” katanya. – WILAYAHKU