MENGAMBIL peluang 10 Ramadan terakhir, pihak Concorde Hotel Shah Alam menganjurkan majlis berbuka puasa dengan menyantuni 104 kanak-kanak dari tiga buah rumah anak yatim.
Turut diraikan anak-anak yatim dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 6 dan SK Seksyen 9, Shah Alam.
Tiga rumah anak yatim tersebut adalah Rumah Jagaan Amal Assyura (Sungai Buloh); Pusat Jagaan Nursakinah (Subang) dan Rumah Kasih Harmoni (Paya Jaras).

Majlis dimulakan dengan bacaan tahlil dan doa selamat oleh Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Datuk Muhammad Farhan Wijaya diikuti bacaan Al-Quran oleh Muhammad Abdurrouf Mohd Nidzomuddin.
Majlis diserikan dengan keberangkatan Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah Alhaj dan dihadiri Pengerusi Shah Alam Hotel Sdn Bhd, Tan Sri Syed Yusof Tun Syed Nasir.
Terdahulu Syed Yusof menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim berkenaan bagi memberikan kebahagiaan kepada mereka menyambut Aidilfitri ini.

Menurut beliau, majlis berkenaan adalah acara tahunan dianjurkan khusus meraikan anak-anak yatim menjelang lebaran.
“Kita sudah 17 tahun menganjurkan majlis sebegini bagi meraikan anak-anak yatim dan asnaf supaya dapat menyambut Aidilfitri nanti dengan gembira.
“Mereka jangan kita lupakan dalam kita menyambut Aidilfitri,” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut malam tadi.

Beliau turut berterima kasih dengan penaja dan mereka yang memberikan sumbangan bagi meraikan anak-anak yatim berkenaan.
Antara penyumbang berkenaan adalah Adabi Consumer Industries Sdn Bhd, Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia, Johawaki Group dan Yayasan Dato’ Malaysia. – WILAYAHKU