16 peserta dalam kalangan pelajar jurusan seni rekaan pakaian dan jahitan dari tujuh universiti tempatan mempamerkan 26 rekaan pakaian bertemakan futuristik dan moden tradisional pada program CommFest: Loka Teja yang berlangsung di Laman Wau, Kompleks Kraf Kuala Lumpur pada Sabtu.
Program anjuran 29 pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Korporat, Kolej Universiti Poly-tech MARA Kuala Lumpur dibawah naungan Pensyarah dan Penasihat Projek, Aida Suhana Abdul Hamid bertujuan mencungkil bakat dan mengiktiraf keupayaan pelajar dalam seni rekaan.
Menariknya ia dinilai oleh barisan juri berpengalaman dalam industri fesyen tempatan antaranya Ezuwan Ismail, Salikin Sidek, Fareex Axuan selain Pensyarah Universiti Lim Kok Wing, Nur Nasyrah.

Pelajar MSU, Amira Dayana Faizah Azlan mengungguli pertandingan Rekaan Pakaian Moden Tradisional dengan membawa pulang sijil dan wang tunai RM1,000 manakala pelajar dari Kolej Vokasional (ERT) Setapak, Nadia Azlin Zaidi dan Rafiz Razali menduduki tempat kedua dan ketiga.
Bagi kategori pertandingan Rekaan Pakaian Moden Futuristik pula, pelajar UiTM Shah Alam, Raja Muhammad Irfan Raja Muhammad Reduan dinobatkan sebagai johan serta turut dipilih sebagai pemenang Anugerah Khas Pakaian Terbaik Pilihan Juri. Tempat kedua dan ketiga pula dimenangi pelajar dari Giat Mara Kepong, Muhammad Syawal Rosni dan Masrianty.


Sementara itu, Ezuwan Ismail berkata, program ini adalah peluang terbaik buat para pelajar dan pereka baru mengasah bakat dengan menghasilkan rekaan mengikut kreativiti sendiri.
“Saya berharap program seperti ini akan diteruskan dan diperluaskan bukan sahaja di KUPTM Kuala Lumpur bahkan di universiti lain juga sekali gus dapat mewarnai industri fesyen tempatan.
“Nasihat saya kalau boleh hasilkan rekaan kreatif, segar dan ada identiti sendiri supaya boleh kekal dalam industri selain karya praktikal yang sesuai untuk dijual dalam pasaran Malaysia,” ujarnya.

Turut berkongsi pandangan, Salikin Sidek berkata, rata-rata pelajar mempunyai kreativiti yang bagus terutama dalam rekaan tradisional namun boleh ditambah baik dengan elemen tradisional seperti songket dan batik.

Terdahulu, majlis penutup disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Datuk Zulfikri Osman. Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KPTM, Abdul Azmi Abdul Aziz; Timbalan Naib Canselor Akademik KUPTM KL, Professor Madya Dr Zahrah Yahya serta Timbalan Naib Cancelor hal Ehwal Pelajar dan Gaya Hidup Kampus KUPTM KL, Profesor Madya Dr Syamsul Fozy Osman.
Antara universiti yang terlibat adalah Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM) Shah Alam; Kolej Vokasional (ERT) Setapak; GiatMara Bandar Tun Razak; GiatMara Kepong; Management Science University (MSU); Inti College Subang dan UCSI University. – WILAYAHKU