BAGI penduduk sekitar Ampang, pasti tidak asing lagi dengan aneka pencuci mulut Lokadolci yang menawarkan empat jenis perisa utama iaitu Nutella Pod, Brownies, Cheese Tart dan Burnt Cheese Cake.
Bermula dengan harga RM1 hingga RM10 (dessert) manakala RM21 bagi Nutella Pod, menu ini bukan sahaja popular di gerai jualannya yang terletak di Car Boot Sale, Pasar Malam Ukay Perdana bahkan turut mendapat perhatian di laman sosial.
Menurut pemiliknya, Nurain Athilah, 24, Lokadolci mengetengahkan dua bahan utama iaitu coklat dan biscoff serta mempunyai variati pada setiap makanan tersebut.
“Menu yang sentiasa mendapat permintaan tinggi adalah nutella pod dan cheese tart kerana kita menggunakan coklat premium dan mempunyai pelbagai topping di atasnya.
“Selain itu, ia juga dijual dengan harga RM1 bagi satu biji original cheese tart dan brownies. Pelanggan juga boleh tambah topping jika mahu dengan tambahan harga RM2,” katanya yang mengusaha bersama Muhammad Fazmi, 24.
Antara perisa yang diketengahkan adalah Nutella Pod, Dark Crunchy Almond, Brownies (asli dan premium iaitu Nutella dan biscoff), Cheese Tart (Blueberry, Nutella, Biscoff, Kiwi, Strawberi, Kinder Bueno dan Ovomaltine) manakala burnt cheese cake (cookies and cream, nutella bueno dan biscoff with crumbs).
“Untuk perniagaan secara Car Boot Sale ini, saya akan menghasilkan cheese tart sebanyak 140 biji manakala brownies (72 biji) Nutella Pod (20 bekas) dan burnt cheese cake 40 biji.
“Sementara bagi tempahan pula, saya akan membalas semua mesej selepas waktu bekerja dan biasanya saya akan meminta pelanggan untuk menempah dua atau tiga hari sebelum supaya saya ada masa untuk siapkan tempahan,” katanya yang turut menawarkan menu lain seperti caramel pudding dan kek tapak kuda.
Berkongsi berkenaan nama Lokadolci, Nurain berkata Loka membawa maksud dunia atau syurga dalam bahasa Arab sementara Dolci pula bermaksud pencuci mulut dalam bahasa Itali. – WILAYAHKU
Info:
Lokasi: Car Booth Sale, Pasar Malam Ukay Perdana, Ampang
Waktu operasi: Sabtu atau Ahad (7 pagi hingga 12 tengah hari)
Media sosial: @lokadolci