Berita

COC, UNCLOS selesai isu-isu berkaitan Laut China Selatan

Foto: Jabatan Penerangan
- Diterbit 14 Oktober 2024 2:54 PM MYT

MALAYSIA komited untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan Laut China selatan secara konstruktif dengan menggunakan forum dan saluran diplomatik yang sesuai.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, selaku Pengerusi ASEAN pada tahun depan, Malaysia akan terus menyuarakan pendirian tegas berhubung isu berkenaan di pelbagai platform bagi memastikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara terus kekal terpelihara.

“Malaysia sedang memainkan peranan penting di peringkat antarabangsa sebagai Negara Penyelaras Hubungan Dialog ASEAN-China sehingga Julai 2027.

“Antara peranan Malaysia adalah sebagai Pengerusi Bersama dengan China dalam merunding draf Code of Conduct in the South China Sea (COC).

“Dalam hubungan ini Malaysia beriltizam untuk memastikan supaya kod tatalaku ini, jika dipersetujui, akan menjadi satu dokumen yang efektif dan substantif bagi menangani isu-isu berkaitan Laut China Selatan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Andi Muhammad Suryandy Bandi (BN-Kalabakan) mengenai tindakan Kementerian Luar Negeri dalam menangani isu kedaulatan wilayah maritim Malaysia di perairan Laut China Selatan.

Mohamad berkata, COC dilihat sebagai satu kod tatacara bagi mengelakkan konflik dan ketegangan di Laut China Selatan.

Katanya, ia adalah tanpa prejudis terhadap tuntutan wilayah dan maritim negara masing-masing.

Malah katanya, rundingan COC dilaksanakan oleh negara-negara anggota ASEAN dan China menerusi platform ASEAN-China Joint Working Group on the Implementation of the DOC (JWGDOC) dan ASEAN-China Senior Officials Meeting on the Implementation of the DOC (SOM-DOC).

“Pendirian Malaysia berhubung isu di Laut China Selatan adalah jelas dan konsisten iaitu semua pertikaian hendaklah berdasarkan undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Undang–Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS 1982),” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas