Agama

Clickbait mengelirukan pembeli, risiko perniagaan jadi haram

TANGKAP layar sebuah hantaran yang mengelirukan dan mempunyai pautan ke platform perniagaan dalam talian. - Gambar hiasan
- Diterbit 28 Oktober 2024 8:46 PM MYT

PERNIAGAAN dalam era digital kini semakin meluas serta dilihat lebih mudah untuk menarik pelanggan dengan pelbagai kaedah yang diguna pakai salah satu taktik yang digunakan untuk menarik perhatian adalah clickbait.

Ia merupakan iklan, teks atau gambar yang menarik perhatian pengguna agar mereka terdorong untuk mengklik pautan terutamanya dalam media sosial ke laman web tertentu. Namun kebanyakan clickbait sangat mengelirukan pengguna.

Malah sesetengah jurujual sanggup mengeksploitasi peristiwa tragis dan sebagainya semata-mata untuk menarik perhatian pembeli.

Mengulas perkara tersebut, pendakwah Ahmad Saqif Ansorullah Ahmad Jihbadz Mokhlis berkata dalam semua aspek kehidupan termasuklah ketika menjalankan aktiviti perniagaan atau muamalah perlulah berpegang teguh kepada kejujuran dan integriti.

“Dalam Islam, menipu atau mengelirukan orang lain adalah dilarang. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat 42: “Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedang kamu mengetahui”.

“Jelas sudah penggunaan clickbait seperti yang kita lihat di media-media sosial adalah mengelirukan dan boleh menghakis kepercayaan antara individu dan perniagaan yang asalnya halal.

“Dalam konteks syariat Islam, amalan ini boleh dianggap sebagai penipuan. Kepercayaan adalah asas kepada hubungan yang baik dan apabila kepercayaan ini dirosakkan, ia boleh membawa kepada kesan negatif yang meluas. Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang menipu kami, maka dia bukan dari golongan kami.” (Hadis Riwayat Muslim),” katanya.

Menurut Ahmad Saqif, banyak taktik clickbait dilihat mengeksploitasi emosi manusia, terutamanya terdapat elemen ketakutan dan rasa ingin tahu terutama melibatkan peristiwa yang pernah menggemparkan negara.

“Dalam ajaran Islam, amalan ini dianggap tidak beretika kerana Islam menekankan belas kasihan dan empati. Mengeksploitasi emosi orang lain untuk keuntungan peribadi adalah bertentangan dengan nilai-nilai Islam.

“Malah jika kita lihat, penggunaan clickbait ini sudah keterlaluan kerana sanggup menggunakan peristiwa yang mengguris hati keluarga mangsa dan ini amat tidak beretika.

“Allah berfirman dalam Surah Al-Hujurat, ayat 11: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain, boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olokkan),” katanya.

Beliau berkata setiap individu khususnya pencipta kandungan mempunyai tanggungjawab besar dalam menyebarkan maklumat dalam talian malah sebagai seorang Islam, menjadi kewajiban untuk menuruti ajaran Rasulullah SAW yang mengharamkan sebarang unsur-unsur penipuan dalam muamalah.

“Dalam konteks Islam, tanggungjawab ini termasuk memastikan ketepatan dan sifat serta nilai yang beretika kandungan.

“Menyebarkan maklumat yang salah atau mengelirukan adalah dilarang. Firman Allah dalam Surah An-Nur, ayat 19: “Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebahnya tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab yang pedih di dunia dan di akhirat.” katanya.

Menurutnya, perkembangan penggunaan clickbait yang mengelirukan, terutamanya yang mengeksploitasi peristiwa tragis boleh menyumbang kepada persekitaran dalam talian yang negatif dan berpotensi membahayakan individu dan masyarakat secara keseluruhan.

“Ini boleh menyebabkan penyebaran maklumat palsu, ketidakpercayaan dan ketidakstabilan sosial. Dalam Islam, menjaga keharmonian dan kesejahteraan masyarakat adalah sangat penting,” katanya.

Selain itu, beliau berkata setiap individu khususnya peniaga dalam talian wajib menjunjung sepenuhnya prinsip Islam yang mengawal etika perniagaan termasuk kejujuran, keadilan dan tanggungjawab sosial.

“Prinsip-prinsip ini juga terpakai kepada perniagaan dalam talian, terutamanya dari segi amalan pemasaran dan interaksi mereka dengan pengguna. Firman Allah dalam Surah Al-Mutaffifin, ayat 1-3:

“Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang, (iaitu) orang-orang yang apabila menerima takaran dari orang lain mereka minta dipenuhi dan apabila mereka menakar atau menimbang untuk orang lain, mereka mengurangi,” katanya.

Beliau berkata pemimpin agama dan masyarakat boleh memainkan peranan penting dalam menangani isu clickbait yang mengelirukan dan mempromosikan tingkah laku dalam talian yang beretika.

“Mereka boleh mendidik serta membimbing individu dan perniagaan tentang kepentingan kejujuran dan integriti dalam interaksi digital menerusi khutbah, ceramah dan program pendidikan,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan prinsip Islam, beberapa cadangan boleh ditawarkan untuk menangani isu clickbait yang mengelirukan dan mempromosikan amalan dalam talian yang beretika.

“Pihak berkuasa perlu menyediakan garis panduan yang jelas tentang etika dalam penciptaan kandungan agar ia tidak menyentuh perkara melibatkan sensitiviti mana-mana pihak khususnya 3R.

“Kerajaan juga wajar melancarkan kempen pendidikan untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya clickbait serta kesan terhadap penggunaan kaedah tersebut kepada keluarga dan mana-mana individu yang  terlibat dalam sebarang peristiwa atau tragedi,” katanya.

Jelas beliau, kerajaan harus menguatkuasakan undang-undang dan peraturan bagi melarang penggunaan clickbait yang jelas mempunyai unsur mengelirukan selain bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam seperti kejujuran, integriti dan belas kasihan.

“Dengan memahami dan mengamalkan prinsip-prinsip ini, kita boleh mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih positif dan beretika,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas