CIRI-CIRI kemelayuan termasuk nilai sejarah yang terdapat di Kampung Baru mesti dikekalkan dalam pembangunan kampung berkenaan pada masa akan datang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, langkah itu diambil bagi memelihara nilai sejarah terhadap penempatan Melayu yang berada di tengah-tengah bandar raya.
“Kampung Baru ini penuh sejarah, terkenal dengan tradisi. Akhirnya Kampung Baru akan menjadi pemangkin kepada pembangunan keseluruhan Wilayah Persekutuan dan Kuala Lumpur.
“Ciri-ciri kemelayuan akan dikekalkan dalam pembangunan dan aspek itu tidak boleh diketepikan. Jadi kita kena berhati-hati dalam pembangunan tersebut mengambil kira perkara-perkara ini,” katanya selepas Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat sempena 125 Tahun penubuhan Kampung Baru di Masjid Jamek Kampong Bharu baru-baru ini.
Sementara itu Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berikrar memastikan Kampung Baru akan terus kekal dimiliki orang Melayu serta akan sentiasa membantu untuk proses pembangunan.
“Sebagai wakil rakyat kawasan ini, saya sentiasa memastikan tanah yang telah dianugerahkan Sultan Selangor 125 tahun lalu ini kekal di tangan orang Melayu sebab waktu tanah ini diberi (dikurnia) statusnya adalah selagi ada bulan dan bintang (tetap hak Melayu).
“Saya tekankan kepada semua penduduk Kampung Baru, kita hendak pastikan tanah ini kekal di atas tanah orang Melayu serta mana-mana pembangunan di kawasan ini memang kita galakkan tetapi dengan syarat pemaju perlu ambil kira sejarah tanah ini.
“Kita tidak mahu apa berlaku kepada Sungai Baru yang menyebabkan banyak pemaju datang kawasan ini tidak faham, dia ingat membangunkan kawasan ini macam membangunkan kawasan setinggan sebaliknya ia agak berbeza,” katanya.
Terdahulu, Zaliha dan Johari menyertai hampir 1,000 penduduk Kampung Baru menghadiri majlis kesyukuran anjuran bersama Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) itu.
Majlis dimulakan dengan solat Maghrib diikuti bacaan Yasin dan doa kesyukuran.
Ia bertujuan memohon keberkatan supaya segala perancangan dan pembangunan pada tahun ini dapat dijalankan dengan teratur dalam memberi keutamaan dan memelihara kepentingan orang Melayu.
Majlis itu juga sebagai tanda penghargaan dan mengenang semula jasa bakti penduduk dalam mengekalkan keunikan, identiti serta legasi yang dibina di kampung itu sepanjang 125 tahun penubuhannya. – WILAYAHKU