SEBANYAK 50 kenderaan jenama Chery disediakan secara percuma bagi membantu mangsa kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han, memaklumkan bahawa ramai mangsa kehilangan kenderaan dalam insiden tersebut.
“Selepas meninjau kawasan terjejas dan memahami keperluan mendesak penduduk untuk pengangkutan, saya segera menghubungi Chery Malaysia.
“Saya menghargai respons pantas mereka dalam menyediakan 50 kenderaan bagi membantu mangsa bencana,” katanya menerusi laman Facebook.
Mangsa yang memerlukan bantuan kenderaan sementara boleh memohon melalui pautan https://bit.ly/bantuankeretasementara.
Terdahulu, kebakaran yang berlaku sekitar jam 8.10 pagi semalam berpunca daripada kebocoran paip gas, menyebabkan kebakaran sepanjang 500 meter. Insiden itu mengakibatkan 225 kenderaan musnah dan 174 lagi terjejas. -WILAYAHKU