PENGENDALI skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe percaya kehadiran pemain berdarah campuran Belgium-Malaysia Dion Cools dapat memantapkan pasukan dalam aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Beliau mengakui ketiadaan tonggak pertahanan tengah Mohd Shahrul Mohd Saad akibat kecederaan lutut sedikit merencatkan barisan pertahanan, yang menyaksikan skuad kendaliannya tewas 1-4 kepada Kuwait dan 0-2 kepada Bahrain dalam aksi persahabatan baru-baru ini.
Susulan itu, kehadiran pemain pertahanan kanan kelab FC Midtjylland di Denmark itu, Cools yang boleh beraksi di beberapa posisi, termasuk sebagai pertahanan tengah, pertahanan kiri dan pemain tengah memberi harapan buat barisan kejurulatihan negara.
Cheng Hoe berkata pemain yang mempunyai pengalaman beraksi di Liga Juara-juara Eropah itu, mungkin diberikan peluang menggalas tanggungjawab di bahagian pertahanan tengah bersama kapten Aidil Zafuan Abdul Radzak.
Bagaimanapun, cabaran utama buat pemain berusia 25 tahun itu, yang baru menyertai kem latihan kebangsaan di Dubai pada pagi ini ialah bagi mencapai keserasian bersama 25 pemain sedia ada dalam yang masa singkat sekiranya mahu beraksi menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Khamis ini.
“Pemain serba boleh ini bagus untuk pasukan, kami barisan jurulatih gembira dengan kehadiran beliau, harap dapat beri kestabilan kepada pasukan. Memang bukan mudah untuk mana-mana pasukan untuk mencapai keserasian dalam masa yang singkat.
“Kami telah memberikan beberapa tugas untuknya, kerja rumah mengenai cara kami bermain, menunjukkan kepada beliau video aksi pasukan, gerakan taktikal dan gaya pertahanan. Saya rasa beliau seorang yang mahu belajar dan cepat belajar, kita akan terus memantau perkembangannya,” katanya ketika sidang media secara maya hari ini.
Selepas cakap-cakap Cools bakal mendapat panggilan pertama menyarung jersi skuad Harimau Malaya sejak minggu lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya mengumumkan beliau sebagai pemain ke-26 menyertai skuad negara pada pagi tadi.
Lahir di Kuching, Sarawak, pemain dengan ketinggian 1.85m itu telah diturunkan sebanyak 32 kali oleh FC Midtylland sepanjang musim 2019/20 dan 2020/21, termasuk tiga kali dalam saingan Liga Juara-juara Eropah. Beliau turut pernah membuat 28 penampilan bersama skuad bawah-21 dan remaja Belgium.
Mengenai pengumuman Persatuan Bola Sepak UAE (UAE FA) memberi kebenaran kepada 30 peratus penonton ke stadium bagi kelayakan itu, Cheng Hoe berkata pemain negara sudah biasa beraksi di hadapan penyokong pasukan lawan, malah ia juga diharap dapat meningkatkan motivasi pemain.
Sementara itu, penjaga gol utama Mohd Farizal Marlias turut percaya kehadiran Cools dapat meningkatkan kekuatan pasukan dan memberikan motivasi tambahan buat pasukan menjelang aksi menentang UAE, Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun).
Walaupun beliau mengakui keserasian lebih penting berbanding pengalaman dimiliki seseorang pemain untuk kejayaan pasukan, Farizal berharap reputasi Cools yang pernah berdepan bintang Liverpool seperti Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Diogo Jota dapat diterapkan dalam pasukan untuk keputusan yang positif. – BERNAMA