Selebriti

Chef Wan dedah hidap kanser limfoma

- Diterbit 4 Ogos 2023 12:52 AM MYT

CEF selebriti, Chef Wan disahkan mengidap kanser limfoma dan akan menjalani rawatan kemoterapi selama 13 minggu.

Berkongsi perkembangan kesihatannya di laman Instagram, Chef Wan berkata, beliau dimaklumkan tentang penyakitnya itu jam 3 petang semalam selepas menjalani ujian ECG di pusat perubatan terkemuka di ibu negara.

“Pada pukul 3 petang tadi (semalam), saya menerima diagnosis daripada doktor yang mengesahkan saya menghidap kanser limfoma.

“Saya bakal melakukan imbasan Tomografi Pancaran Positron (PET) untuk melihat sama ada kanser tersebut telah merebak ke organ-organ lain,” katanya.

Tambah Chef Wan, kanser tersebut mempunyai peluang sembuh sebanyak 70 hingga 80 peratus sekiranya dikesan awal.

“Doktor juga akan memulakan kemoterapi yang mungkin mengambil masa selama 13 minggu.

“Saya akan mula mengalami keguguran rambut selepas ini. Jadi, saya sudah bersedia untuk menggayakan rambut palsu seperti Elvis, M. Daud Kilau dan sebagainya pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Chef Wan mengaku, dalam hidup setiap dugaan perlu diterima dengan reda dan  hati terbuka.

“Anak dan menantu saya terus menangis selepas mendapat tahu saya menghidap kanser. Tetapi, beginilah hidup. Kita perlu jalani setiap cabaran satu demi satu dengan hati yang terbuka.

“Kepada semua, jangan risau. Terima kasih atas doa kata-kata semangat,” katanya dalam hantaran sama. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas