JAGUH badminton para negara, Cheah Liek Hou membuktikan beliau sukar digugat di Paralimpik Paris 2024 apabila menghadiahkan pingat emas pertama untuk Malaysia pada final perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) di Porte de La Chapelle Arena sebentar tadi.
Lebih manis lagi kemenangan terhadap wakil dari Indonesia, Suryo Nugroho akhirnya terbalas dendam Liek Hou selepas lawannya itu menumpaskan pemain Malaysia, Muhammad Fareez Anuar di pentas separuh akhir.
Liek Hou yang juga juara dunia lapan kali dilihat tidak berhadapan masalah untuk menumpaskan Suryo yang berada di ranking kelima dunia menerusi kemenangan straight set 21-13, 21-15 dalam tempoh 26 minit.
Malah pada set pertama menyaksikan atlet berusia 36 tahun itu yang juga pemenang pingat emas di Paralimpik Tokyo dilihat lebih menguasai perlawanan hingga sukar untuk lawannya itu mengutip mata.
Pada pertemuan set kedua pula, Suryo cuba mengubah corak permainan hingga hampir memerangkap Liek Hou namun ketenangan wakil negara itu mampu melakukan kebangkitan sebelum mengesahkan kemenangan 21-15.
Mengikut rekod, kemenangan terhadap Suryo itu menyaksikan Liek Hou mempertahanan pingat emas yang dimenanginya pada Paralimpik Olimpik lalu.
Selain itu pingat emas Liek Hou itu sudah pastinya dinantikan peminat sukan tanah air selain turut meniup semangat atlet Paralimpik Malaysia dalam misi memburu pingat untuk negara.
Setakat ini, Malaysia sudah membawa pulang satu emas dan satu gangsa. – WILAYAHKU