Fokus

Cetus perilaku ‘gila’ si kecil

Gambar hiasan
- Diterbit 11 November 2024 7:39 PM MYT

Oleh DIANA AMIR & SABRINA SABRE

PROGRAM kartun kanak-kanak sewajarnya memiliki karakter menarik, membangkitkan rasa seronok dan menghiburkan golongan anak kecil. Malangnya muncul lambakan kartun aneh dan pelik dikesan tersebar meluas di media sosial yang mampu mencetuskan emosi trauma, ganas serta perilaku gila dalam kalangan kanak-kanak.

Kebanyakan kartun ini tidak secomel disangka apabila hadir dalam pelbagai bentuk menakutkan hingga boleh menimbulkan persoalan, adakah ia sesuai ditonton untuk golongan kecil ini?

Menurut Perunding Psikologi Klinikal, Dr Noor Aishah Rosli, golongan kanak-kanak masa kini kian taasub dengan alat peranti teknologi dan animasi di televisyen yang seolah-olah sudah menjadi satu keperluan buat mereka meskipun di usia kecil.

“Tidak dinafikan bahawa kartun animasi seperti itu sememangnya menjadi kelaziman buat mereka dengan ia juga menjadi salah satu tarikan di zaman kanak-kanak.

“Namun, kecuaian segelintir ibu bapa yang tidak memantau bahan tontonan di laman digital masa kini dilihat boleh membahayakan anak-anak di bawah usia tujuh tahun yang ketagih dengan video kartun,” ujarnya.

Beliau berkata kebebasan dan sikap terbuka ibu bapa terhadap penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak menjadi punca golongan mudah terdedah dengan kartun ‘beracun’.

“Kartun selalu menjadi tontonan si kecil. Penting bagi ibu bapa untuk memilih rancangan kartun yang baik untuk mereka kerana apa yang didedahkan akan diserap dalam kehidupan anak.

“Rancangan kartun memberikan manfaat, tetapi ada ciri penting yang perlu ibu bapa titikberatkan. Tiga perkara yang perlu diperhatikan ialah bahasa, tingkah laku dan aksi yang ada di dalamnya,” ujar beliau.

Sebelum ini, tular satu animasi di YouTube bertajuk Skibidi Toilet yang dikatakan telah memberikan kesan negatif kepada golongan kanak-kanak dan beberapa video di TikTok turut memaparkan perbuatan pelik golongan berkenaan selepas menonton rancangan tersebut.

“Kartun itu pada mulanya hanya memaparkan watak lelaki yang keluar daripada mangkuk tandas sambil menyanyi, namun beberapa episod selepas itu mula memaparkan adegan ganas dan tembak-menembak yang boleh mempengaruhi minda budak kecil.

“Semuanya tanpa jalan cerita yang baik, lagu latar belakang juga sengaja diubah suai untuk merangsang fikiran kanak-kanak untuk berpelakuan ganas.

“Pemikiran kanak-kanak di bawah usia tujuh tahun ini baru nak berkembang jadi golongan seperti mereka memang dijadikan sasaran utama untuk kaut keuntungan.

“Otak mereka sedang berkembang pesat, anak-anak tengah membina fahaman mengenai dunia sekeliling mereka. Jika dunia mereka hanyalah dengan menonton video pendek YouTube atau TikTok yang tidak memberi apa-apa makna yang hanya menunjukkan keganasan semata, apa fahaman yang mereka bina mengenai dunia sekeliling mereka,” ujarnya.

Dalam masa sama, Noor Aishah berkata mendedahkan anak kepada elemen yang boleh mempengaruhi emosi negatif bukan secara alami hanya akan menjejaskan mental mereka.

“Hakikatnya sikap ibu bapa yang tidak matang inilah yang menjadi punca tahap kesihatan mental anak terganggu terutama dari sudut emosi menjadi negatif, takut dan keresahan yang keterlaluan.

“Lebih tidak matang apabila ibu bapa zaman sekarang menjadikan rasa takut dan resah anak mereka sebagai kandungan hiburan dalam media sosial tanpa menyedari aspek emosi anak tercalar dengan teruk,” ujarnya.

Beliau berkata emosi takut dan gelisah saling berkait tetapi dua emosi ini memiliki takrifan tersendiri dan dikelaskan dalam kumpulan yang berbeza.

“Takut adalah emosi berkait dengan ketakutan kepada sesuatu yang pasti terjadi. Sementara keresahan lebih adalah emosi iaitu bimbang atau rasa tidak menyenangkan kepada sesuatu yang belum berlaku, lebih tepat adalah pemikiran tidak rasional.

“Mengenai ciri-ciri abnormal atau gangguan keresahan dan ketakutan dalam diri kanak-kanak, situasinya berbeza apabila tahap pemikiran kanak-kanak tidak boleh merasionalkan situasi dihadapi dengan baik serta menyebabkan kesan lebih buruk.

“Kanak-kanak biasanya merasai pengalaman pertama takut pada usia empat atau lima tahun ketika mereka dalam perkembangan mengenal identiti diri.

“Mereka akan jelajah atau teroka pengalaman di persekitaran sendiri dan menemui rasa takut dalam proses berkenaan. Contohnya ketika bermain atau berlaku insiden dalam rutin harian menyebabkan mereka pelajari situasi yang tidak menyenangkan,” ujarnya.

PERLUKAN INTERVENSI

BERKONGSI pengalaman dalam membantu memulihkan kanak-kanak yang mengalami gangguan emosi keterlaluan terutama membabitkan takut dan keresahan, beliau berkata tempoh intervensi lebih panjang diperlukan bergantung kepada intensiti insiden atau berapa lama mereka terdedah kepada punca emosi terbabit.

“Terdapat dua kes membabitkan intervensi terhadap kanak-kanak dalam memulihkan mereka daripada kesan emosi negatif. Salah satunya membabitkan kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang dirawat kerana rasa takut yang melampau sehingga menjejaskan keyakinan dirinya.

“Kes itu dirujuk oleh saudara kandungnya yang bersimpati dengan keadaan adik mereka yang mudah terkesan setiap kali terdengar bunyi kuat dan melihat adegan ganas di televisyen.

“Puncanya, kanak-kanak terbabit membesar dalam keadaan ketakutan kerana tinggal dalam rumah bersama bapanya yang juga pesakit skizofrenia. Saya terpaksa jalankan rawatan selama setahun bagi membantu mengembalikan emosi positif untuk kelangsungan kanak-kanak terbabit,” ujarnya.

Seterusnya, kes lain dikendalikan pakar itu membabitkan kanak-kanak berusia lima tahun yang mempunyai emosi ketakutan melampau selepas menonton filem seram komedi tempatan.

Beliau berkata perubahan drastik kanak-kanak itu disedari orang tuanya apabila dia yang memiliki personaliti ceria dan pandai berdikari berubah menjadi penakut sehingga terpaksa ditemani ibu bapa meskipun pergi ke tandas di rumah sendiri.

“Apabila emosi negatif mula mengganggu fungsi normal harian seperti dilalui kanak-kanak berkenaan, ia menunjukkan ibu bapa perlu mengambil pendekatan lebih sesuai.

“Kalau ibu bapa mendapati perubahan sikap anak drastik selain gemar mengasingkan diri dan termenung, perlulah segera merujuk kepada pakar. Selain itu, pendedahan lebih baik terutama kemahiran boleh digunakan ibu bapa bagi membantu anak mereka pulih daripada dibelenggu emosi negatif,” ujarnya.

Tambahnya lagi, jika ketakutan anak anda terhadap hantu terlalu melampau dan menjejaskan kehidupan harian mereka, pertimbangkan untuk mendapatkan bantuan profesional.

“Pakar psikologi kanak-kanak boleh membantu anak anda mengatasi ketakutan mereka dengan cara yang lebih berkesan.

“Dengan pendekatan yang betul, ibu bapa dapat membantu anak-anak mereka mengatasi ketakutan terhadap hantu. Sokongan, pemahaman dan dorongan yang konsisten adalah kunci utama dalam membantu anak-anak merasa lebih berani dan yakin,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas