KU SEMAN KU HUSSAIN
PERASAN cantik dan kemaruk cepat kaya antara punca yang boleh membawa seseorang terperangkap dengan penipuan dalam talian yang berleluasa ketika ini. Misalnya apabila ada kenalan di media sosial memuji tentang kecantikan, banyaklah yang cair dan mulai perasan mempunyai suatu kelebihan.
Begitu juga apabila ada pihak yang perkenalkan pelaburan yang boleh membuatkan kita menjadi cepat kaya, golongan yang gila duit mudah terpengaruh. Duit selalu membuatkan manusia gelap mata dan terhenti otaknya untuk berfikir dengan lebih waras.
Dulu, pada dekad 1980-an sebelum menjengah era digital, bukan sedikit juga yang terlopong dengan skim cepat kaya. Impian menjadi kaya dengan jalan yang mudah berubah menjadi kayap yang menyeksakan. Semuanya kerana sifat tamak dan mahu cepat kaya tanpa memikirkan muslihatnya.
Memang benar, terutamanya golongan yang kurang berkemampuan sentiasa memerlukan duit. Walau bagaimanapun hal itu bukanlah alasan untuk membuka diri kepada perangkap sindiket penipuan yang sekarang mengubah pendekatan menggunakan media sosial.
Penipu yang kreatif mengubah taktik dengan pantas. Namun golongan yang disasar sebagai mangsa terus tidak berubah. Malah banyak yang terperangkap dalam dunia yang tertutup. Mereka hanya hidup dalam dunia media sosial dan jarang menjengah dunia yang sebenar – banyak penipu berkeliaran mencari mangsa.
Kalau ada telefon pintar, gunakanlah untuk membaca portal berita kerana di situ kita tahu peratus keuntungan yang munasabah dalam semua pelaburan. Janganlah setakat membaca media sosial sahaja kerana cara begitu tidak membawa kita keluar melihat dunia sebenar. Orang melabur kita pun hendak melabur. Apabila tidak ada pengetahuan, duit yang dilabur menjadi lebur.
Tajuk-tajuk berita di media seperti ini sebenarnya bukan suatu yang menggembirakan. Misalnya ‘Tukang kayu rugi lebih RM400,000 terpedaya sindiket love scam’, ‘Penghantar surat rugi RM63,000 akibat love scam’, ‘Pesara bank wanita kerugian RM1.9 juta angkara love scam’, ‘Bekas jururawat hilang RM1.9 juta diperdaya skim pelaburan palsu’ dan banyak lagi.
Sekalipun begitu kejadian yang sama terus berlaku seolah-olah semua berita tentang penipuan itu langsung tidak menjentik kesedaran dan berusaha untuk mengelak daripada terjerat. Selepas terkena mereka pula yang menjadi tajuk berita.
Statistik Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) mencatatkan sebanyak 1,230 kes love scam dilaporkan sepanjang 2022 yang melibatkan kerugian RM50 juta. Kalau dibahagikan dengan 12, kita dapati secara purata 100 kes sebulan. Modus operandi atau taktik menipu sama sahaja – berpura-pura jatuh cinta.
Sasaran love scam adalah golongan wanita atau lelaki yang perasan. Mereka perasan cantik apabila ada memuji dengan ayat-ayat yang penuh cinta. Hakikat sebenarnya mereka amat naif kerana terlupa cinta sebenar tidak semudah dan semurah itu. Disebabkan naif, pemikiran pun tidak kritikal dan menyoal itu dan ini.
Sementara yang kemaruk cepat kaya pula sambar sahaja ‘peluang’ yang lalu di depan mata. Sebenarnya tidak semuanya peluang tetapi perangkap dengan umpan cerita-cerita manis tentang pelaburan.
Sudah tidak peduli lagi pelaburan itu bertentangan dengan agama atau moral, asalkan memberi kekayaan semua dirembatnya. Malah tidak mengkaji di manakah duit kita itu dilaburkan. Maka merekalah sasaran sindiket penipu dalam talian yang menjaja kaedah cepat kaya.
Sikap yang disebutkan di atas banyak menyumbang kepada 5,422 kes pelaburan palsu sepanjang 2022 dengan kerugian berjumlah RM425 juta. Sindiket pelaburan tidak wujud itu menjanjikan pulangan tidak masuk akal. Hal itu tentu sahaja ditolak oleh mereka yang ada pengetahuan kerana ternyata tidak masuk akal.
Pelaburan palsu dan love scam dalam talian boleh dihindari dengan sikap tidak bersangka baik terhadap semua orang dan keadaan. Hal itu kerana jenayah penipuan tidak sama dengan orang menggodam akaun bank kita kemudian mengeluarkan duit tanpa pengetahuan.
Jenayah penipuan dalam talian terutama menerusi media sosial dilakukan dengan pengetahuan kita, melalui pujuk rayu dan kata-kata manis yang membuatkan akal waras terhenti seketika. Sekiranya tidak didekati sejak awal lagi, kita mempunyai peluang untuk menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa.
Lihat sahaja sindiket love scam dan pelaburan palsu, penipu hanya menggunakan kuasa pujuk rayu. Mereka merayu memberikan kata laluan dan nombor akaun. Atau meminta kita sendiri yang memasukkan duit ke akaun tertentu. Hal itu amat pelik, tetapi banyak yang sanggup melakukannya.
Sekiranya mempunyai kesedaran, sedikit sebanyak kejadian yang buruk boleh dielakkan. Salah satu caranya dengan mengambil iktibar daripada sekian banyak berita yang dipaparkan di media. Tambahan pula taktiknya sama sahaja antara satu dengan kes yang lain.
Sindiket mengulang skrip yang sama, peliknya masih ada yang terkena. Tentunya disebabkan tidak cakna dengan segala kejadian yang berlaku di sekitar kehidupan dan tidak belajar mengenainya. Berita di media sudah banyak mendedahkan taktik sindiket dan itulah juga yang diulang. Tetapi terus ada yang menjadi mangsa.
Misalnya dalam kes love scam, sasaran adalah kepada lelaki dan wanita, terutama pesara yang baru mengeluarkan wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Ahli sindiket, sama ada lelaki atau wanita kononnya dari luar negara dikenali di media sosial.
Yang lelakinya kacak dan wanitanya cantik berpura-pura jatuh cinta sampai tahap gila dengan mangsa yang jauh lebih tua. Disebabkan terlalu gembira, mangsa selalunya hilang kesempatan berfikir panjang, terlupa menyoal diri adakah munasabah lelaki atau wanita sekacak atau secantik itu boleh terpikat dengannya.
Menyoal diri sendiri menandakan kita tidak perasan melulu serta membawa kepada pertimbangan yang waras. Tidak terlalu teruja dengan pujian, apa lagi oleh individu yang hanya dikenali di media sosial. Sedar diri adalah penting supaya tidak terus perasan menjadi wanita atau lelaki bertuah.
Keadaan itu memberikan sedikit ruang untuk mewaraskan fikiran seterusnya menimbulkan keraguan. Itulah yang menjadi benteng daripada masuk ke dalam perangkap. Sekaipun begitu, disebabkan cepat perasan dan teruja dengan pujian, ada yang hilang upaya berfikir dengan waras.
Boleh jadi yang dikatakan sebagai mat salih dari luar negara itu sebenarnya berada tidak jauh dengan kita. Malah mat salih yang diperagakan itu entah siapa-siapa yang berselindung di sebalik akaun palsu media sosial. Maka tolonglah jangan cepat perasan dan kemaruk hendak kaya.
SETIAP artikel penulis adalah pendapat peribadi, bukan pendirian WILAYAHKU.