Labuan

Cendol santan beku kisar

- Diterbit 3 Disember 2024 4:07 PM MYT

SEBUT sahaja nama makanan pencuci mulut ini sudah pasti tiada siapa boleh mengatakan tidak untuk menikmatinya terutama pada musim panas. Tanpa mengira bangsa‚ menu ini menjadi kesukaan rakyat Malaysia.

Apatah lagi cendol telah diwartakan sebagai makanan warisan negara oleh Jabatan Warisan Negara Malaysia.

Di Labuan‚ terdapat ramai peniaga cendol dengan pelbagai variasi dan keistimewaan masing-masing yang mempunyai pengikutnya tersendiri.

Menariknya di pulau ini terdapat seorang usahawan muda yang mahu memartabatkan makanan warisan turun-temurun itu dengan memberikan nafas dan sentuhan wajah baharu yang lebih moden.

Menurut pemilik perniagaan Cendol De’ Coco‚ Sukardi Sulaiman‚ idea untuk merenovasikan resipi makanan pencuci mulut itu terlintas di fikirannya bermula daripada perniagaan ibu bapa beliau yang membekalkan santan segar di sekitar pulau ini.

Maka tidak hairan jika kios Cendol De’ Coco yang terletak di Kampung Ganggarak itu menjadi tumpuan peminat pemanis mulut.

Ujarnya‚ idea untuk berniaga cendol itu bermula apabila stok santan yang diusahakan ibu bapanya tidak habis terjual dan baginya itu merupakan pembaziran.

“Ketika ibu bapa saya berniaga santan untuk pasaran sekitar Labuan‚ adakalanya stok santan masih berbaki dan ia tidak dapat disimpan lama kerana mudah basi.

“Dari situ saya mula berfikir apakah cara untuk memanfaatkan santan tersebut daripada terbuang begitu sahaja.

“Pada awal tahun 2021‚ saya memberanikan diri menghasilkan cendol berkonsep lebih moden tanpa mengubah resipi asal dan hanya memberikan sedikit penambahan sampingan sahaja‚” ujarnya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Sukardi mengakui beliau dan pekerjanya tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan yang setia dengan menu cendolnya.

“Alhamdulillah dengan penerimaan dan sokongan pelanggan‚ hampir 200 mangkuk cendol berjaya terjual setiap hari malahan ia boleh meningkat pada hujung minggu dan musim cuti‚” katanya yang juga bekas pekerja di salah sebuah syarikat terbesar dalam sektor minyak dan gas.

Bercerita lanjut keistimewaan cendol yang dihasilkannya‚ beliau masih menggunakan menu ramuan yang asal seperti santan‚ gula merah‚ kacang merah dan sebagainya.

“Antara kelainan cendol ini ialah cara pembuatan itu agak berbeza sepertimana cara tradisi yang kita ketahui. Untuk penyediaan santan‚ saya menggunakan cara tersendiri iaitu air santan itu dibekukan menjadi satu blok ais dan dikisar menjadi halus sebelum ia digunakan.

“Dengan cara ini‚ saya dapat mengekalkan rasa santan yang lebih pekat‚ berlemak dan segar kepada pelanggan. Selain itu‚ kita juga dapat mengekalkan ketahanan santan itu daripada basi dan bertukar warna.

“Di sini kami menyediakan pelbagai campuran tambahan buah-buahan segar sebagai ‘topping’ dan menjadikan cendol yang dihasilkan lebih menarik dan sihat.

“Antara menu kami adalah set cendol biasa‚ cendol durian (mengikut musim)‚ mangga‚ buahan campuran‚ koktel dan jagung‚” ujarnya yang mengatakan harga setiap menu cendol yang dijual bermula daripada RM9.90 hingga RM25 mengikut pilihan topping. – WILAYAHKU

INFO:

Alamat: Kampung Ganganggarak, Labuan
Masa: Isnin hingga Khamis (1 – 10 PM), Jumaat (2 – 10 PM), Sabtu hingga Ahad (11 AM – 10 PM)
Facebook: De coco
TikTok: Cendol De Coco

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas