Labuan

Cendol Kerupang satukan kaum

- Diterbit 6 Oktober 2024 11:15 AM MYT

CENDOL merupakan pencuci mulut yang begitu popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Malah ia juga diisytiharkan sebagai makanan warisan negara oleh Jabatan Warisan Negara Malaysia.

Bukan sahaja memiliki keunikan tersendiri bahkan pencuci mulut yang mudah didapati di Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Lumpur ini mempunyai peminat dalam kalangan pelbagai bangsa dan lapisan masyarakat.

Melaluinya juga dapat menghimpunkan pelbagai kaum dalam satu masa di mana mereka mampu duduk bersama-sama di bangku sambil menikmati keenakan juadah yang tidak dapat disangkal lagi.

Menyedari banyak kelebihan pada pencuci mulut ikonik tersebut maka tidak hairanlah Rajashwaree Maniam, 63, memilih cendol untuk dijadikan sumber pendapatan utamanya sejak 19 tahun lalu.

Bercerita lanjut kepada Wilayahku, ibu kepada tiga orang cahaya mata ini berkata di awal perniagaannya, dia nekad membawa resipi dari Pulau Pinang ke Labuan kerana yakin dengan sambutan pelanggan terhadap juadah tradisi itu.

“Saya mempertaruhkan resipi asli dari Semenanjung sejak dahulu lagi kerana rasanya yang tidak dapat ditandingi. Kesedapannya bertambah apabila menggunakan air santan asli berbanding air santan segera yang mudah didapati dan biasanya dijual dalam kotak.

“Jika kita gunakan santan asli, kepekatannya memang tiada tandingan, rasa dan bau dia mampu membangkitkan selera. Bukan sahaja menggunakan santan asli tetapi saya juga turut menyediakan ais batu sendiri.

“Saya lebih puas hati dengan air tangan sendiri kerana kepuasan itu jelas apabila pelanggan memberi maklum balas positif dengan hasilnya,” ujarnya.

Tambah anak kelahiran Kedah ini, setiap hari dia menggunakan lebih lima kilogram (kg) tepung dan 10 kg santan untuk menghasilkan cendol yang mempunyai enam perisa.

“Selalunya setiap kali selepas pulang berniaga, saya akan membuat cendol dan perah santan. Jika dahulu saya akan hasilkan cendol yang lebih banyak tetapi sekarang agak terhad memandangkan usia yang sudah tua.

“Walau bagaimanapun, saya tetap gembira kerana mampu menjual sehingga 300 mangkuk cendol pelbagai perisa antaranya kacang merah, pulut dan cincau,” ujarnya puas hati.

Memulakan perniagaan dengan modal RM500 lebih satu dekad lalu, Rajashwaree berkata banyak kenangan manis sepanjang berniaga cendol di gerai yang terletak di Kampung Kerupang itu.

“Masa membuat keputusan untuk menjual cendol di pulau ini, saya mengambil masa selama satu tahun untuk cuba menghasilkannya setanding dengan cendol popular yang terdapat di Pulau Pinang.

“Biarpun nampak mudah namun saya perlukan masa yang panjang untuk mengatasi segala kekurangan yang ada sehinggalah ramai yang mengakui keenakannya barulah saya berani untuk menjualnya,” ujarnya.

Ceritanya lagi, di warung cendol itu jugalah menemukannya dengan pelanggan yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama.

“Sambil menikmati cendol, kami berbual, bergelak ketawa dan berkongsi rasa. Biasanya mereka akan datang lebih daripada sekali menjadikan hubungan saya dan pelanggan akrab.

“Pastinya saya amat bersyukur kerana melalui perniagaan ini
juga dapat menyatupadukan semangat perpaduan masyarakat majmuk. Sokongan pelanggan kepada saya membuktikan rakyat di negara ini hidup dalam suasana harmoni di bawah satu rumpun,” ujarnya lagi.

Bukan sahaja masyarakat tempatan bahkan gerainya itu turut menjadi pilihan pelancong yang datang bercuti di pulau itu. – WILAYAHKU

 

Info:
Alamat: Kampung Kerupang, Labuan
Operasi: Setiap hari kecuali Isnin
Harga: RM5.50 hingga RM9

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas