Berita

Cekap tangani isu pensijilan halal

PELBAGAI usaha giat dilaksanakan bagi menggalakkan pihak industri memohon SPHM. - Gambar hiasan
- Diterbit 27 September 2024 3:23 PM MYT

ISU pensijilan halal terus menjadi bualan dalam media sosial. Ada yang mendakwa kononnya kerajaan lemah dan tidak mampu menguruskan perkara itu apatah lagi mahu menangani isu lebih besar pada masa akan datang.

Malah, kerajaan terus-menerus dikaitkan membela pemimpin Cina dan akan terus mengunci mulut jika ia melibatkan mereka. Sudah-sudahlah menuduh perkara yang tidak masuk akal itu.

Isu ini telah pun selesai dan tidak perlu dipertikaikan lagi. Menuduh kerajaan lemah dan tidak bijak menangani sesuatu isu adalah satu tuduhan yang agak keterlaluan.

Buktinya Mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini bersetuju mengekalkan dasar sedia ada bahawa permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) perlu bersifat sukarela seperti mana ia dilaksanakan sejak 1974.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pengekalan dasar sedia ada ini bermaksud ia terbuka kepada mana-mana industri yang bersedia untuk mematuhi semua keperluan, piawaian dan standard pensijilan halal Malaysia.

Melalui sijil diperoleh itu, ia akan memberi nilai tambah kepada pemegang SPHM atas komitmen tinggi untuk sentiasa mematuhi standard dan piawaian pensijilan halal.

“Justeru, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia JAKIM menggesa pemain industri untuk memohon SPHM memandangkan ia boleh memberi jaminan dan menarik pelanggan beragama Islam untuk makan tanpa keraguan,” ujarnya..

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal berkata pelbagai usaha giat dilaksanakan bagi menggalakkan pihak industri memohon SPHM khususnya industri mikro dan kecil.

“Pihak berkepentingan termasuk agensi pembimbing usahawan di semua peringkat turut ditawarkan insentif dan inisiatif dalam bentuk latihan dan bimbingan serta geran dalam memastikan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan boleh dipersijilkan halal.

“JAKIM turut memperkenalkan Inisiatif Segera Pensijilan Halal Malaysia bagi mempercepatkan pengurusan pensijilan halal Malaysia dalam tempoh 30 hari.

“Januari hingga Julai lalu, sebanyak 96 peratus permohonan berjaya diuruskan dalam tempoh ditetapkan. Usaha proaktif ini berupaya menjadi salah satu tarikan kepada pihak industri untuk memohon,” ujar beliau.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar melakukan kajian dan menyediakan laporan lengkap berhubung isu pensijilan halal.

Terdahulu, isu pensijilan halal menjadi polemik selepas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dilapor berkata ia seharusnya bersifat sukarela untuk membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas