Berita

Cegah jenayah kanak-kanak

GANGGUAN seksual memberi kesan terhadap mental. - Gambar hiasan
- Diterbit 27 September 2024 11:54 AM MYT

ORANG ramai dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dengan kelicikan penjenayah-penjenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Penyanyi rap dan aktivis kemanusiaan, Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli berkata kes jenayah dalam kalangan remaja bawah umur tidak boleh dipandang ringan.

“Kebanyakan mangsa akan memilih untuk berdiam diri dan mungkin terpaksa hidup dalam keadaan trauma sepanjang hayatnya. Masyarakat perlu sedar betapa bahayanya pemangsa jenayah seksual ini, bukan sahaja meruntuhkan masyarakat malah juga negara.

“Oleh kerana itu, pada pendapat saya, perkara sebegini perlu dipandang serius, semua pihak perlu mainkan peranan serta lindungi kanak-kanak daripada menjadi mangsa,” katanya kepada Wilayahku.

Tambah Caprice, zaman kanak-kanak adalah suatu fasa kehidupan yang seharusnya dilalui dengan warna-warni indah dan dipenuhi dengan gelak ketawa.

Menurutnya lagi, bagi kebanyakan mangsa gangguan seksual yang dialaminya pada usia setahun jagung, tragedi itu akan menjejaskan kehidupan zaman kanak-kanak, malah berupaya menjadi titik hitam dalam kehidupan mereka.

“Tanpa langkah pencegahan awal, titik hitam itu akan berkembang besar dan meninggalkan kesan yang berpanjangan, sekali gus berpotensi mengganggu perkembangan emosi dan mental mereka.

“Perlu diketahui gangguan seksual bukan kejadian yang menyebabkan trauma dari segi fizikal semata-mata malah masyarakat sering terlepas pandang akan kesan gangguan seksual terhadap mental dan emosi mangsa.

“Tanpa perhatian sewajarnya daripada golongan profesional seperti pakar psikiatri, psikologi dan kaunselor bertauliah, kanak-kanak yang menjadi mangsa gangguan seksual cenderung berhadapan dengan masalah kesihatan mental di usia dewasa,” tegasnya.

Caprice berkata masyarakat terutamanya golongan ibu bapa perlu bijak menilai supaya tidak mudah terpengaruh atau tidak terjerat dengan jenayah ini walaupun berimejkan Islam seperti seorang yang warak atau ustaz.

“Akhir zaman bukan sekadar zaman fitnah tetapi zaman penuh dengan munafik juga, semua pihak perlu bersatu banteras jenayah ini daripada terus berleluasa,” jelasnya.

Beliau amat memuji tindakan pantas pihak berkuasa dalam membantu mencegah jenayah.

“Pada pendapat saya, pihak berkuasa terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat pantas dan cekap dalam mengekang jenayah yang melibatkan kanak-kanak,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas