Selebriti

Ceburi bisnes… Daqmie kini muncul dengan PENDETA

|DAQMIE (Kanan) rasa bertuah mendapat bimbingan bisnes daripada Datuk Asfarena Samion.|PENDETA dan Kurta Eco Batiq kini di pasaran.|
- Diterbit 4 Mac 2022 8:55 AM MYT

SIAPA sangka rezeki penyanyi popular lagu Tangis Sebatang Tamar, Daqmie semakin mencurah-curah.

Bukan sahaja lagu-lagunya yang diminati ramai, malah Daqmie atau nama sebenarnya Azmee Abdul Manap,51, kini aktif dalam bidang perniagaan tekstil.

Mempertaruhkan jenama PENDETA, Daqmie bersyukur bisnes pakaiannya itu semakin dikenali ramai.

DAQMIE (Kanan) rasa bertuah mendapat bimbingan bisnes daripada Datuk Asfarena Samion.

Menurut Daqmie, hasrat untuk menjadi usahawan sudah lama terpendam, cuma hasrat tersebut tertangguh sebelum ini kerana tiada orang yang sesuai untuk membimbingnya sehinggalah dia bertemu dengan Datuk Asfarena Samion.

“Saya dengan Datuk Asfarena adalah kawan baik. Dia yang ajak saya untuk buat bisnes tekstil ini. Sebab itu saya berani buat dan yakin kerana beliau memang pakar dalam apa yang dilakukannya.

“Beliau adalah pengarah kreatif dan pereka fesyen teknikal yang disegani serta mempunyai rangkaian perniagaan yang kukuh.

“Sebagai pemilik Secret Modest yang cemerlang dalam menghasilkan pelbagai jenis pakaian, saya yakin dapat belajar dan mengembangkan perniagaan saya yang bergerak bawah syarikat A&T Brilliant Sdn. Bhd.,” katanya.

Tambah Daqmie lagi, apa yang dilakukan sekarang adalah untuk membangunkan produk kerana untuk terlibat dalam perniagaan tekstil perlu ada rangkaian bisnes yang panjang.

Ini kerana tegas Daqmie, perancangannya bukan tertumpu kepada naji sahaja malah lebih kepada cerita. Cerita bagaimana dan kenapa sesebuah koleksi tersebut dihasilkan.

Selaku Ketua Pegawai Eksekutif A&T Brilliant, Daqmie berkata, untuk permulaan syarikat akan mengeluarkan koleksi yang mengetengahkan kurta potongan longgar dan seluar berlipat pelekat bahagian hadapan menggunakan teknik potongan lama bawah jenama Pendeta By Daqmie.

“Sekarang ini untuk produk awal, saya tekankan kepada Eco Batiq punya produk. Elemen warna dan sumber daripada kayu-kayu dan daun adalah motifnya.

“Pola seluar PENDETA ini saya sudah simpan lama untuk dibuat. Rekaannya, dari depan nampak macam kain tapi sebenarnya seluar.

“Buat masa sekarang kita buat untuk koleksi pakaian lelaki saja dulu, lepas ini akan menyusul jubah, baju perempuan dan kemungkinan besar baju kanak-kanak juga,” jelasnya yang mendapat ilham menghasilkan seluar PENDETA sewaktu berada di Mesir.

Tambahan pula, seluar PENDETA sentiasa menjadi pertanyaan ramai setiap kali Daqmie menjayakan acara nyanyian.

“Bila saya pakai seluar itu mesti ada yang tanya dan nak tahu siapa yang buat. Saya katalah, saya yang buat sendiri dan mereka tanya tak nak jual ke? Saya kata nak jual tapi tunggu dulu. Sebabnya saya nak jual cerita.

“Setiap produk PENDETA akan ada jalan ceritanya. Kalau kita buat seluar ini, kenapa kita buat seluar tersebut. Kalau kita buat baju itu kenapa ia dihasilkan.

“Daripada produk itu barulah saya boleh kaitkan dengan kerja seni saya, kalau tidak macam mana saya nak buat kerana setiap produk ada jalan cerita dan saya boleh buat lirik dan lagu,” jelasnya tentang pola seluar produk jenama Pendeta By Daqmie yang telah dipatenkan bagi memudahkan urusan perniagaan.

Tambah Daqmie, seluar jenama PENDETA yang mudah (selesa) untuk solat dan tampak cantik dipadankan dengan kasut sukan, capal atau kasut biasa itu akan dijual secara eksklusif di laman atas talian Secret Modest.

PENDETA dan Kurta Eco Batiq kini di pasaran.

Untuk makluman, perkataan PENDETA menjadi pilihan Daqmie untuk jenama pakaian kerana nama PENDETA diberi oleh arwah bapa kepadanya.

“Nama PENDETA ini bapa saya yang beri nama dan itu adalah nickname saya dalam keluarga. Arwah bapa pernah cakap, esok satu hari kamu akan dapat keluarkan satu benda ini tapi dalam bentuk arts.

“Bagi saya, nama PENDETA itu sangat unik kerana ia membawa maksud pemikir dan ia bercerita tentang bagaimana sesuatu perkara itu berlaku.

“Untuk logo PENDETA pula, tanjak menjadi pilihan kerana saya adalah orang yang memulakan pemakaian tanjak dari tahun 2014 untuk acara dan majlis yang saya hadiri,” katanya yang akan keluarkan baju dan seluar dari saiz S hingga XXL.

Untuk keluaran pertama, pakaian yang dikeluarkan A&T Brilliant merupakan koleksi Kurta Eco Batiq. Menariknya, pembeli boleh membeli sepasang pakaian tersebut atau memilih untuk memiliki salah satu daripadanya dengan melayari Secretmodest.my

Harapan Daqmie agar jenama PENDETA boleh berdiri sebaris dengan jenama lain. Dia juga mahu menjadi salah seorang pengeluar tekstil yang ada nama sendiri.

Koleksi Kurta Eco Batiq akan mula menemui pelanggan pada pukul 2 petang, 22 Februari ini dalam satu majlis pelancaran yang diadakan di Setia Aveneu, Setia Alam, Shah Alam, Selangor. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas