Putrajaya

CCTV di Putrajaya tingkat keselamatan awam

PCC bertujuan meneliti dan mengawasi sebarang aktiviti di kawasan awam.
- Diterbit 14 Mac 2025 12:57 PM MYT

DALAM meningkatkan tahap keselamatan awam dan langkah awal membentuk bandar pintar, sebanyak 180 kamera litar tertutup (CCTV) akan dipasang di Putrajaya dan Labuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, ia juga bertepatan dengan visi CHASE City 2025-2029 yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat, inovasi teknologi dan peningkatan sosioekonomi.

Selain itu katanya sebanyak 5,000 CCTV canggih dan dilengkapi kecerdasan buatan (AI) di sekitar Kuala Lumpur akan diintegrasikan dengan Pusat Kawalan Kuala Lumpur (KLCCC) bagi meningkatkan pemantauan keselamatan.

“Bagi saya tanggungjawab membangunkan Wilayah Persekutuan bukan hanya terletak di bahu kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi, tetapi ia juga perlu melibatkan semua pihak berkepentingan.

“Kita mahu memastikan pembangunan Wilayah Persekutuan lebih mampan, sejahtera, makmur dan berdaya huni untuk warganya,” katanya selepas merasmikan Majlis Aspirasi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) 2025 di Putrajaya baru-baru ini.

Zaliha berkata CCTV ini bukan sahaja akan meningkatkan tahap keselamatan awam, tetapi meningkatkan keberkesanan termasuk pemantauan secara proaktif dan tindakan lebih pantas kepada keadaan situasi kecemasan, insiden trafik mahupun aktiviti jenayah.

“Dengan adanya kesemua ini, saya yakin pusat kawalan kita boleh beroperasi sebagai brain yang memberikan kita satu bird-eye’s view dan akhirnya boleh diperincikan kepada data driven centralised decision making.

“Dapatan lawatan kerja saya ke Shenzen, China tahun lalu, saya telah dibawa melawat ke Smart Longgang District Council di mana saya menyaksikan bagaimana pengurusan bandar pintar mereka dikendalikan melalui Pusat Operasi Bersepadu yang berkali-kali ganda lebih hebat dari kita.

“Kejayaan mereka adalah kerana perolehan data mereka yang lebih besar, pelbagai dan lengkap. Walaupun, saya tidak nafikan, KLCCC dan Putrajaya Command Centre pun tidak kurang hebatnya, tetapi ada yang kita boleh belajar dan laksanakannya di sini antaranya adalah dengan mengintegrasikan CCTV milik swasta untuk digunakan bagi tujuan pengurusan bandar.

“Jadi, saya minta pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) untuk turut melihat bagaimana pelaksanaan ini boleh direalisasikan dalam tahun ini juga,” katanya.

Dalam masa sama beliau turut menggesa semua pihak termasuk warga kerja Wilayah Persekutuan untuk terus memperkukuh tatakelola dan mempercepat penyelesaian aduan rakyat bagi memastikan keberkesanan perkhidmatan kepada masyarakat.

“Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan limpahan ekonomi dirasai setiap lapisan masyarakat Wilayah Persekutuan khususnya golongan miskin bandar.

“Oleh itu Program Pembangunan Usahawan Komuniti (PUSH) yang sebelum ini berjaya membantu golongan berpendapatan rendah (B40) akan diperluas kepada lebih ramai penerima termasuk wanita dan golongan miskin bandar,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas