PELAKON dan usahawan terkenal, Wawa Zainal mengakui dia pernah berhadapan dengan kerenah anak-anak dalam keadaan emosi yang kurang stabil.
“Terutamanya ibu-ibu muda, kadang-kadang mereka tidak dapat kawal emosi apabila berhadapan masalah yang mengganggu fikiran.
“Mereka tak pernah jaga anak. Ditambah pula ada anak yang kelainan upaya dan autisme. Kalau anak yang normal pun ada yang tak sabar layan kerenah, apatah lagi yang istimewa ini.
“Jadi mereka memerlukan kesabaran yang sangat tinggi. Sebab itu cadangan Wawa, kalau mereka (ibu bapa) rasa penat sangat sama ada dari segi emosi atau fizikal, kalau budak menangis, biarkan sahaja dia menangis.
“Jangan sampai kita angkat tangan (pukul) disebabkan tidak sabar dengan mereka. Rasa letih atau penat itu, tak boleh nak elak sebab kita juga manusia biasa.
“Kalau anak meragam, menangis atau bergaduh sesama mereka, biarkanlah dulu. Bimbang nanti kita akan pukul mereka disebabkan kita juga dalam keletihan.
“Kadang-kadang kita tak tahu setakat mana kesabaran kita. Bimbang emosi kita tak stabil dan di luar kawalan,” ujarnya.
Wawa turut mengakui pernah berhadapan situasi di mana anaknya menangis, dalam masa yang sama dirinya baru sahaja pulang daripada kerja.
“Tips yang saya bagi itu adalah kerana saya sebagai ibu pernah melaluinya apabila menjaga anak-anak yang masih kecil dan tiada pembantu rumah. Ketika itu saya masih bekerja, suami pun bekerja cari rezeki untuk keluarga. Memang penat sangat.
“Jadi apa yang kita boleh buat macam saya cakap tadi, bila kita sedang emosi tak stabil. Jangan dekati anak yang sedang menangis atau buat perkara yang boleh buat kita marah.
“Anda pergilah rehat di ruang tamu atau buatlah apa-apa yang perlu. Apabila emosi sudah stabil, barulah tengok anak dan peluk mereka. Selepas pujuk hati supaya bersabar dan emosi kita dah stabil, insya-Allah, kita takkan pukul anak,” ujarnya.