MALAM sudah larut, namun gim bersaiz sederhana yang terletak di sebuah pusat beli-belah di sini, masih dipenuhi individu yang lencun dengan peluh dan dengusan mereka tatkala memanfaatkan pelbagai peralatan kecergasan.
Pun begitu, jumlah yang ada itu tidak seramai seperti beberapa jam sebelumnya.
Pemandangan itu bukan sesuatu yang baharu bagi pengurus kelab Anytime Fitness Siti Maryam Zainal Abidin yang telah 18 tahun berkecimpung dalam bidang kecergasan.
“(Memang lazimnya beginilah, akan ramai yang datang setiap awal tahun baharu) dengan azam baharu, menjadikan kesihatan dan kecergasan sebagai keutamaan,” katanya kepada Bernama.
Ketibaan tahun baharu membawa bersama janji pembaharuan, dan sebab itulah orang membuat azam untuk menambah baik pelbagai aspek dalam kehidupan mereka, kata perunding psikologi Dr Hariyati Shahrima Abdul Majid.
“Tahun baharu menandakan bermula bab baharu dalam kehidupan. Mereka ada 365 hari untuk direnung dan melihat semula pengajaran yang diperoleh, perkara yang tidak menggembirakan mereka, yang membuatkan mereka bermuhasabah… jadi mereka mahu lakukan sesuatu yang berbeza. Mereka mahu menambah baik diri sendiri,” katanya.
“Azam adalah matlamat atau janji yang kita buat dengan diri sendiri,” tambah beliau.
Akan tetapi, jarang janji itu dikotakan. Kajian terdahulu tentang azam tahun baharu mendapati 80 peratus janji tersebut hanya tinggal janji apabila tiba Februari.
Tinjauan Kesihatan Forbes tentang azam 2024 baru-baru ini mendapati masyarakat berpegang pada janji mereka lebih lama dari tempoh itu, bergantung pada jenis azam yang dibuat. Bagaimanapun kebanyakannya melupakan resolusi mereka dalam tempoh empat bulan. Dalam tinjauan itu, responden menyenaraikan kesihatan, kecergasan, kewangan dan kesihatan mental sebagai antara azam utama mereka.
Walaupun kadar kegagalan meneruskan azam adalah tinggi, ini tidak bermakna masyarakat perlu melupakan terus daripada membuat tekad baharu.
KEGAGALAN
Kira-kira 48 peratus daripada 1,000 responden di Amerika Syarikat yang terbabit dalam tinjauan Forbes itu menyenaraikan peningkatan tahap kesihatan dan kecergasan sebagai azam paling utama, sementara 38 peratus memilih penambahbaikan kedudukan kewangan dan 36 peratus menjadikan kesihatan mental sebagai azam utama mereka. Responden boleh memilih lebih daripada satu resolusi dalam tinjauan itu.
Keseluruhannya, 55 peratus responden berkata meningkatkan tahap kesihatan fizikal dan mental adalah penting. Sebahagian daripada cara menambah baik tahap kesihatan mental ialah dengan menguruskan emosi dan mewujudkan keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan.
Hariyati Shahrima yang juga pensyarah kanan di Kolej IJN (dioperasikan oleh Institut Jantung Negara) gembira kerana semakin ramai yang mementingkan kesihatan mental, yang menurut beliau, mula menjadi fokus susulan penularan pandemik COVID-19.
“Stigma (tentang kesihatan mental) semakin berkurangan sekarang,” katanya.
Bagaimanapun tambah beliau, memutuskan untuk berubah adalah bahagian paling mudah dalam membuat azam. Untuk mempertahankan keputusan itu lain pula ceritanya.
Siti Maryam berkata antara sebab kedatangan ke gim merosot sekitar Februari dengan angka kekal statik untuk beberapa bulan berikutnya sebelum terus berkurangan pada Disember dan kembali memuncak pada Januari, ialah ramai berasa bosan untuk bersenam dan pergi ke gim.
“Mereka berasa bosan dan tidak ada dorongan untuk ke gim kerana mereka gagal menjadikan aktiviti itu sebagai tabiat,” katanya, menambah untuk menjadikan sesuatu aktiviti sebagai tabiat, kegiatan tersebut perlu dilakukan secara konsisten sekurang-kiurangnya selama enam minggu.
Hariyati Shahrima yang bersetuju, berkata orang biasanya berasa tidak selesa dengan benda baharu dan sukar buat mereka untuk terus melakukan sesuatu yang mereka tidak selesa.
“Rasa tidak selesa ini lazimnya dikaitkan dengan (ketidakmampuan anda) meneruskan apa yang anda mahu lakukan,” jelas beliau.
Walau bagaimanapun, beliau berkata tidak mustahil untuk seseorang kekal bermotivasi dan dapat meneruskan perubahan.
MUHASABAH
Pakar-pakar terbabit memberitahu Bernama, pertama sekali, orang ramai perlu menganalisis azam yang mereka buat dan kemampuan mereka untuk memenuhi tekad itu sebelum cuba berbuat demikian.
“(Mereka gagal kerana) orang tidak bermuhasabah diri tentang apa yang mereka mahu ubah, atau adakah mereka mampu? Adakah mereka bersedia?” kata Hariyati Shahrima.
Beliau berkata mereka perlu menetapkan had, apa yang mereka mahu capai dan bagaimana mereka akan mencapai matlamat itu dengan pelan tindakan.
Tambah beliau, seseorang itu juga perlu sedar bahawa perubahan tidak berlaku dalam sekelip mata tetapi merupakan satu proses. Mereka harus bersedia untuk melalui proses itu bagi satu tempoh yang lama.
Mengulas tentang azam berkaitan kewangan, Editor Pengurusan portal kandungan kewangan peribadi Simple Sum, Seow Kai Lum berkata seseorang perlu meneliti peruntukan dan perbelanjaannya sebelum menetapkan sasaran. Mereka juga perlu tahu perbezaan antara kehendak dan keperluan.
Beliau berkata sebaiknya tetapkan matlamat secara khusus. Beliau memberi contoh tentang membayar balik pinjaman pengajian atau menyimpan atau melabur sejumlah tertentu wang untuk tahun berkenaan.
Beliau turut memberi amaran tentang jangkaan yang tidak realistik.
“Anda akan mempunyai dorongan untuk mencapai matlamat anda selangkah demi selangkah (jika anda mempunyai sasaran yang boleh dicapai),” katanya.
“Akan tetapi, jika anda bermula dari ‘0’, memang tidak realistik untuk menyimpan RM100,000 dalam tempoh setahun,” ujar Seow.
Beliau berkata seseorang itu juga perlu melihat semula pengalaman lalu dan tabiat berbelanja agar mereka dapat menentukan zon selesa kewangan mereka, misalnya berapa banyak wang yang boleh mereka simpan dengan mudah dan berapa banyak perbelanjaan yang mereka dapat kurangkan. Apabila mereka sudah tahu di mana zon selesa, mereka boleh menjadikannya asas.
“Jika anda berjaya merealisasikan matlamat itu, tahun depan buat sasaran lebih tinggi kerana zon selesa anda sekarang adalah zon tidak selesa sebelum ini,” jelasnya.
Jangkaan tidak realistik juga terpakai bagi matlamat kesihatan dan kecergasan.
“Sesetengah orang beritahu saya yang mereka mahu turunkan berat sebanyak 10 kilogram dalam tempoh sebulan. Saya boleh bantu mereka untuk mencapai matlamat itu namun (cara tersebut) tidak sihat mahupun mampan. Apabila mereka berhenti, berat mereka akan naik kembali,” kata Siti Maryam.
Mempunyai matlamat yang realistik juga dapat membantu kesihatan mental. Hariyati Shahrima menggesa majikan agar menyediakan akses kepada perkhidmatan psikologi, terutama yang ditawarkan oleh pihak ketiga bagi menjaga anonimiti.
CARI RAKAN
Selain meningkatkan kesihatan mental, mempunyai rakan juga dapat membantu seseorang mencapai matlamat kecergasan dan kewangan mereka.
Siti Maryam berkata adanya rakan untuk berkongsi matlamat kecergasan dan kegiatan akan mendorong seseorang, khususnya wanita, untuk pergi ke gim atau melakukan aktiviti lain.
“Ahli wanita biasanya berasa malu. Sukar untuk mereka kekal dengan rutin. Juga sukar buat mereka untuk meminta pertolongan kerana kebanyakan jurulatih adalah lelaki,” katanya, menambah kaum lelaki lebih mudah untuk mendominasi gim.
Sementara itu, Seow berkata melibatkan kawan semasa mahu membeli sesuatu dapat menghalang seseorang daripada melakukan pembelian mengikut perasaan atau membantu mereka memantau perbelanjaan. Mereka juga boleh memberi kata-kata semangat kepada seseorang untuk merealisasikan sasaran kewangan.
Beliau berkata seseorang itu juga perlu bersedia untuk menyingkirkan godaan pembelian dalam talian dengan memadamkan semua aplikasi berkaitan.
Selain itu, beliau mengesyorkan mereka yang mempunyai masalah dalam mengawal perbelanjaan agar menggunakan kaedah “cash stuffing” (mengasingkan wang tunai dalam sampul-sampul kecil), iaitu berbelanja hanya menggunakan wang tunai.
“Dengan kaedah ini, anda hanya ada jumlah yang terhad (untuk berbelanja dan) semuanya dalam bentuk tunai. Di sinilah anda perlu benar-benar menilai setiap ringgit yang dibelanjakan,” katanya.
Beliau menambah ini akan membantu seseorang memupuk disiplin bagi mematuhi belanjawan yang telah ditetapkan.
JANGAN PUTUS ASA
Yang paling penting kata pakar, ialah tidak berputus asa. Sebaliknya, jadi kreatif dan fleksibel serta cari alternatif jika perjalanan ke arah mencapai azam berdepan halangan.
Siti Maryam dan Hariyati Shahrima, masing-masing berkata jika seseorang itu gagal mempertahankan matlamat seperti bermalasan dan tidak bersenam selama beberapa minggu, mereka harus memulakan kembali aktiviti itu dan bukan berhenti terus.
“Teruskan saja. Anda boleh bermula kembali pada bila-bila masa,” kata Siti Maryam.
“Mentaliti hitam putih, atau nasi sudah jadi bubur, saya rasa ini antara sebab mengapa orang gagal (capai matlamat),” kata Hariyati Shahrima.
Kata beliau, perubahan tidak semestinya perlu bermula pada awal tahun, sebaliknya boleh berlaku pada bila-bila masa.
Tambahnya, seseorang itu juga tidak harus mudah berpuas hati dan menerima apa sahaja yang terdaya dicapai.
“Satu daripada herotan kognitif ialah orang hanya melihat apa yang mereka mahu lihat, dengar apa yang mereka mahu dengar. (Sebagai contoh,) penurunan berat badan sebanyak 0.5 kilogram dalam masa dua minggu adalah satu pencapaian (walaupun) orang mengatakan mereka perlu menurunkan berat sebanyak satu atau dua kilogram,” katanya. – BERNAMA