Berita

Calon tak hadir SPM: KPM tubuh jawatankuasa khas

- Diterbit 16 Oktober 2024 3:05 PM MYT

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) menubuhkan Jawatankuasa Khas Tindakan Gempur Kehadiran Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024/2025 dalam usaha mengurangkan jumlah ketidakhadiran calon menduduki peperiksaan itu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, ia merupakan tindakan terkini dalam rancangan pelan intervensi kementerian menangani isu berkenaan.

Menurut beliau, bagi peperiksaan SPM tahun lalu, seramai 10,160 orang calon tidak hadir menduduki peperiksaan berbanding 14,858 orang calon pada 2022.

“KPM sentiasa cakna mengenal pasti punca-punca ketidakhadiran calon peperiksaan dengan lebih terperinci agar intervensi yang berfokus dapat diambil.

“Berdasarkan kepada analisis daripada KPM, antara punca ketidakhadiran adalah kerana bekerja, berhenti sekolah, masalah keluarga, pindah sekolah, sakit dan juga faktor-faktor yang lain.

“Kita ada membuat analisis berkenaan dengan faktor-faktor supaya KPM mampu untuk melaksanakan intervensi,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Hassan Saad (PN-Baling) mengenai usaha kementerian dalam memastikan pelajar tidak hadir SPM dikenal pasti puncanya dan usaha memastikan golongan itu tidak terus tercicir.

Kah Woh berkata, selain jawatankuasa khas, kementerian turut meningkatkan pentaksiran psikometrik bagi mengumpul maklumat gambaran tret psikologi dari aspek minda atau jiwa untuk membantu murid mengenali personaliti kendiri dan membuat keputusan berdasarkan kebolehan sendiri.

“Kementerian juga melaksanakan Program Persediaan Menghadapi Peperiksaan SPM melalui inisiatif Program Minda Sihat Sekolah.

“Selain itu, aktiviti berfokus seperti ziarah cakna, sesi konsultasi ibu bapa, permuafakatan Persatuan Ibu Bapa-Guru (PIBG) serta Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS),” katanya.

Beliau berkata, KPM turut bekerjasama dengan Kementerian Kewangan melalui Unit Pantau Madani dan Yayasan Hasanah dalam pelaksanaan Program Anak Kita: Semarak Potensi Malaysia, membabitkan Program Pecutan SPM 2024 dengan ia dijalankan secara berfokus di 16 negeri. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas