Berita

Calon STAM berdepan masalah, maklum segera sekolah JPN

- Diterbit 27 Januari 2025 1:19 PM MYT

SERAMAI 4,507 orang calon peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2024 telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan STAM Tahun 2024 di 132 buah pusat peperiksaan seluruh negara.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan berkata, bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan, seramai 926 orang petugas peperiksaan telah dilantik.

“KPM cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk musim banjir sepanjang peperiksaan STAM Tahun 2024 berlangsung.

“KPM sentiasa siap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan lain yang berkaitan,” tulis kenyataan itu.

Katanya, calon dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau jabatan pendidikan negeri (JPN) dengan segera sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau manamana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan oleh bencana.

“Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat LP dan JPN di seluruh negara. KPM komited untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan STAM Tahun 2024 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur. KPM mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera,” ujarnya.

Terdahulu, peperiksaan STAM akan dilaksanakan pada 3 hingga 6 Februari 2025 serta 10, 12 dan 13 Februari 2025. Semua calon diingatkan agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan, serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.

Jadual waktu peperiksaan STAM Tahun 2024 boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan (LP) melalui pautan lp.moe.gov.my.

“Calon diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan. Calon juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan STAM Tahun 2024,” ujar kenyataan itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas