Berita

Caj RM1 kepada warga asing

TINJAUAN mendapati warga asing tidak lagi membanjiri hab bas
- Diterbit 12 Januari 2024 9:20 AM MYT

PENGGUNAAN perkhidmatan bas GoKL dilihat menurun hampir 80 peratus berbanding sebelum ini sejak caj bayaran sebanyak RM1 bagi setiap perjalanan dikenakan kepada warga asing bermula 1 Januari lalu.

Hasil tinjauan Wilayahku di dua lokasi hab bas iaitu Hab Pasar Seni dan Hab Titiwangsa pada Selasa mendapati perkhidmatan bas GoKL kurang mendapat sambutan daripada warga asing.

Penyelia Bas GoKL di Hab Bas Pasar Seni, Thilhath Hassan Hagamat, 38, berkata kawasan tersebut mencatatkan rekod penggunaan perkhidmatan bas GoKL tertinggi berbanding dua kawasan lain iaitu di Hab Titiwangsa dan Hab KLCC sebelum ini.

“Boleh dikatakan hampir setiap hari terutama waktu puncak pagi (7 hingga 9 pagi) dan waktu puncak petang (5 petang hingga 7 malam), bas ini akan dipenuhi oleh warga asing.

“Namun, sejak dikenakan bayaran, mereka kurang berminat untuk menaiki bas kerana tidak mahu membayar tambang atau membeli kad Touch ‘n Go (TNG) semata-mata mahu menaiki bas.

“Ada juga yang mempersoalkan kenapa perlu membayar tambang sedangkan sudah beberapa tahun lamanya tidak dikenakan sebarang caj, jadi saya ambil langkah dengan beri penjelasan supaya mereka faham tentang pelaksanaan ini,” katanya.

Meskipun kurang mendapat sambutan warga asing namun Hassan memberitahu perkhidmatan itu tetap menjadi pilihan warga tempatan untuk ke tempat kerja.

“Kalau kita lihat ramai dalam kalangan bangsa Melayu, Cina dan India, yang menggunakan perkhidmatan ini terutama ketika waktu bekerja,” katanya.

Sementara itu, Penyelia Bas GoKL di Hab Titiwangsa, Saravanan Kumar berkata lokasi itu menunjukkan penambahan pengguna perkhidmatan adalah kepada warga tempatan berbanding warga asing.

“Biasanya pada pukul 5 petang, kita boleh nampak kira-kira 70 orang warga asing menunggu bas tetapi sekarang saya lihat terdapat penambahan daripada segi warga tempatan.

“Bagi saya, caj yang dikenakan kepada warga asing itu tidaklah mahal cuma mungkin mereka kurang mendapat pendedahan tentang pelaksanaan baharu ini,” katanya sebanyak 23 bas GoKL yang beroperasi di hab Titiwangsa.

Sungguhpun begitu, dia ingin berterima kasih kepada warga tempatan kerana memilih untuk menggunakan perkhidmatan bas GoKL tersebut bagi memudahkan perjalanan memandangkan ia adalah perkhidmatan percuma sekiranya mereka berdaftar.

Sebelum ini, DBKL mengeluarkan kenyataan tentang caj bayaran kepada warga asing di mana ia akan dilaksanakan secara berperingkat melibatkan empat laluan di sekitar pusat bandar iaitu Laluan 01 (hijau), Laluan 02 (ungu), Laluan 03 (merah) dan Laluan 04 (biru).

Transaksi pembayaran adalah tanpa tunai iaitu melalui TNG, kod QR, kad kredit atau kad debit.

Manakala bagi warganegara Malaysia yang menggunakan MyKad mempunyai sistem TnG perlu membuat pendaftaran MyKad tersebut bagi menikmati perkhidmatan percuma. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas