INDIVIDU bukan warganegara Malaysia yang menggunakan perkhidmatan bas GoKL akan dikenakan caj bayaran RM1 bagi setiap perjalanan bermula 1 Januari tahun hadapan.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan berkata, ia akan dilaksanakan secara berperingkat melibatkan empat laluan di sekitar pusat bandar iaitu Laluan 01 (hijau), Laluan 02 (ungu), Laluan 03 (merah) dan Laluan 04 (biru).
Menurutnya, transaksi pembayaran adalah tanpa tunai iaitu melalui Kad Touch and Go (TnG), Kod QR, kad kredit atau kad debit.
“Manakala bagi warganegara Malaysia yang menggunakan MyKad mempunyai sistem TnG perlu membuat pendaftaran MyKad tersebut bagi menikmati perkhidmatan percuma.
“Bayaran perkhidmatan bas ini adalah percuma bagi semua kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah,” jelasnya.
Menurut DBKL, bermula 1 Disember, kaunter pendaftaran akan beroperasi pada pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 petang hingga 7 malam dengan melibatkan tiga lokasi iaitu hentian bas KLCC, hentian akhir Titiwangsa dan hentian akhir Pasar Seni.
“Kaunter pendaftaran secara berkala di Lobi Menara DBKL 1 akan dibuka pada setiap hari Rabu mulai 6 Disember dari pukul 9 pagi hingga 4 petang,” katanya petugas DBKL juga akan ditempatkan di dalam bas GoKL terpilih bagi tujuan tersebut.
Sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghantar e-mel kepada jpb@dbkl,gov,my atau hubungi talian 03-2028 2314. – WILAYAHKU