Berita

Cadangan sistem baharu pemilihan atlet

- Diterbit 6 Oktober 2024 4:36 PM MYT

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) sedang memperincikan cadangan untuk menyediakan sistem baharu bagi proses pemilihan atlet ke Sukan SEA 2025 di Thailand.

Menurut Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib, sistem itu bakal menyaksikan hanya atlet terbaik yang akan disenaraikan pada temasya dwitahunan berkenaan.

“Minggu ini kita sudah jumpa persatuan sukan dan kita lihat lebih baik ada satu kriteria kelayakan untuk setiap sukan. Berbanding sebelum ini, kita hanya menggunakan satu sistem kelayakan yang ada kategori A dan kategori B.

“Jadi kita nak setiap persatuan bincang balik dan dapatkan kriteria untuk Sukan SEA yang mereka rasakan terbaik dari segi merit dan prestasi atlet. Kita akan bawa perkara ini ke perbincangan jawatankuasa akan datang,” ujar beliau.

Mengulas lanjut mengenai cadangan itu, Nazifuddin berkata sistem berkenaan sudah digunakan oleh beberapa negara di Asia Tenggara seperti Singapura.

“Sistem itu juga dilihat lebih telus apabila pencapaian atlet akan diukur berdasarkan kejohanan semasa yang mereka sertai beberapa bulan sebelum temasya dwitahunan itu.

“Macam sistem lama, kita harapkan rekod lama contohnya mereka kena juara Sukan SEA, juara Sukan Malaysia (SUKMA), jadi rekod ini terlalu lama bukan terkini dan kita perlukan pencapaian terkini.

“Bila ada kriteria kelayakan itu, kita akan lihat kejohanan terdekat mereka sebelum Sukan SEA yang diluluskan oleh badan induk persatuan sukan dunia dan Asia. Jadi, kita nak ke arah lebih telus dan juga lagi terperinci supaya atlet tahu pencapaian sendiri dan apa yang mereka kena hadapi,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau meminta Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) untuk membentangkan kriteria kelayakan atlet ke Sukan SEA selewat-lewatnya pada hujung tahun ini untuk dibawa ke mesyuarat pemilihan atlet awal tahun hadapan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas