KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) masih belum membuat sebarang keputusan mengenai cadangan Pelabuhan Bersepadu Labuan bagi menggantikan Dermaga Labuan Liberty yang berusia lebih 50 tahun,” kata Timbalan Menterinya, Datuk Hasbi Habibollah.
Beliau berkata, sebarang perbincangan akan dibuat setelah perancangan dan pernilaian utama mengenai projek itu dimuktamadkan.
“Kementerian tidak dapat memberikan butiran mengenai cadangan Pelabuhan Bersepadu Labuan di Kawasan Perindustrian Rancha-Rancha kerana pelan induk pelabuhan Labuan belum siap, Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) masih belum dijalankan dan hala tuju keseluruhan masih tidak menentu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Megah Port Management Sdn Bhd.
Tambahnya sebarang kajian mesti dilaksanakan sebelum keputusan konkrit dibuat dan Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA) akan memainkan peranan penting dalam proses tersebut.
Katanya, kementeriannya mengambil kira Pelan Pembangunan Labuan 2030 yang memperuntukkan kira-kira 200 ekar tanah untuk pelabuhan berpotensi.
“Isu penyediaan tanah dan ekosistem perlu diselesaikan sebelum perbincangan lanjut mengenai Pelabuhan Bersepadu Labuan boleh dilakukan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan projek naik taraf bernilai RM22 juta Terminal Feri Roll-on Roll-on (Ro-Ro) Labuan sedia ada yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diteruskan seperti yang dirancang.
“Kita sedang menunggu butiran peruntukan yang akan disahkan dalam Bajet 2025 yang akan diumumkan pada Oktober ini,” katanya. – WILAYAHKU