Berita

Cadangan naik harga siling beras akan lastikan keadilan semua pihak – Mohamad Sabu

- Diterbit 17 November 2023 9:44 AM MYT

SEBARANG cadangan untuk menaikkan harga siling beras putih tempatan akan memastikan keadilan kepada semua pihak – petani, pengeluar, peniaga dan pengguna, kata Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Mohd Sabu berkata harga semasa yang digunakan adalah kira-kira RM26 setiap 10kg tidak diubah sejak mula ditetapkan pada tahun 2008.

“Sekiranya ada kenaikan, kita perlu berbincang dengan Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagaimana kita boleh berlaku adil kepada semua pihak, termasuk kerajaan dan pihak pembangkang, yang turut terlibat dalam perkara ini,” katanya dalam soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) pada Waktu Soalan di Parlimen semalam.

Jelasnya, kerajaan juga sedang membentuk simpanan stok penimbal untuk benih padi yang diperakui bagi menangani kekurangan pasaran.

Mohamad berkata dalam jangka panjang, kerajaan sedang memikirkan untuk membina stok simpanan nasional yang serupa dengan stok beras.

“Kami merancang untuk membina yang serupa dengan sekurang-kurangnya 500,000 beg benih padi sekiranya berlaku apa-apa.

“Buat masa ini kami tidak ada dan ini untuk masa depan,” katanya menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah).

Ahmad Fakhruddin dalam soalannya meminta kementerian menyatakan jenis tindakan penguatkuasaan yang akan dilakukan oleh pihak berkuasa bagi memastikan tiada manipulasi harga benih padi yang disahkan supaya petani mendapat akses kepada benih itu berdasarkan harga kawalan kerajaan.

Beberapa langkah juga telah diambil oleh kementerian bagi memastikan bekalan mencukupi termasuk kelulusan 532,325 guni benih padi bertauliah untuk kegunaan di Kedah dan Perlis.

Sebanyak 112,260 uncang benih padi dihasilkan pada 10 Nov, berbanding 79,142 uncang pada 3 Nov dan 151,200 uncang pada 26 Okt, katanya.

Kerajaan juga dijangka meluluskan pengeluaran 50,000 beg benih padi hari ini yang mana 31,000 beg akan diagihkan kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan bakinya dihantar ke Perlis dan Kedah.

Langkah lain termasuk penubuhan pasukan petugas untuk memastikan semua peruncit menjual benih padi pada harga yang ditetapkan kerajaan dan tidak akan berlaku penimbunan benih padi yang disahkan.

Sehingga 7 Nov, Mohamad berkata sebanyak 20 lesen telah dibatalkan, manakala dua lagi lesen telah dibatalkan semalam. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas