Berita

Cadangan HSR KL-Singapura dari pihak konsortium masih di peringkat konsep awal

- Diterbit 7 Februari 2025 5:03 PM MYT

CADANGAN konsep yang diterima dari pihak konsortium bagi Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (High Speed Rail – HSR) Kuala Lumpur-Singapura melalui Request for Information (RFI) masih di peringkat konsep awal (preliminary).

Menurut Kementerian Pengangkutan (MoT), penilaian jajaran secara terperinci termasuk kajian-kajian melibatkan pengambilan tanah seperti kajian kesesuaian tanah (soil investigation) serta kajian impak sosial dan alam sekitar akan dilaksanakan pada proses seterusnya iaitu peringkat Request for Proposal (RFP).

“Kerajaan juga akan memastikan impak sosial yang minimum terutamanya melibatkan pengambilan tanah semasa penilaian terperinci jajaran tersebut dilaksanakan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Kementerian itu menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mengenai perkembangan semasa projek HSR Kuala Lumpur-Singapura.

MoT menambah, seperti projek-projek rel lain di negara ini, projek HSR turut berpotensi membuka peluang kepada sektor swasta untuk membangunkan tanah secara komersial di sekitar stesen-stesen yang akan dikenal pasti kelak.

“Peluang ini merangkumi pembangunan hartanah seperti perumahan, ruang komersial dan pembangunan bercampur,” katanya.

Pada Julai 2023, MyHSR Corp mengumumkan pelaksanaan semula projek mega itu yang akan dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta.

Mandat yang diserahkan kerajaan kepada MyHSR Corp bagi melaksanakan semula projek HSR KL-Singapura itu adalah dengan pelaksanaannya tidak membabitkan kos daripada kerajaan.

Ia bermakna, projek yang tertunda itu akan dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta tanpa menggunakan dana dan jaminan daripada kerajaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas