Berita

Cadangan gubal akta buli siber akan dibawa ke Mesyuarat Kabinet – Fahmi

- Diterbit 11 Julai 2024 12:42 PM MYT

KEMENTERIAN Komunikasi dijadual membawa cadangan untuk menggubal akta baharu atau meminda undang-undang sedia ada bagi menangani gejala buli siber ke Mesyuarat Kabinet esok.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata ia sebagai usaha untuk menjadikan platform media sosial lebih selamat selain menangani gejala buli siber dalam kalangan pengguna medium itu.

“Kita akan maklumkan kepada mesyurat jemaah Menteri esok tentang langkah perundangan yang boleh diambil sekarang, sama ada dengan menggubal satu akta yang baharu ataupun meminda akta sedia ada.

“Sidang Parlimen ada lebih kurang seminggu lagi, jadi kita ada masa sekiranya Kabinet merasakan ada keperluan (bentang rang undang-undang) untuk kita bertindak segera,” katanya dalam sesi bersama media di Bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Baru-baru ini seorang wanita yang juga pempengaruh media sosial dikatakan membunuh diri selepas menjadi mangsa buli siber di Gombak Setia, Selangor. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas