Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Cadangan ambil guru bahasa Inggeris dari Singapura: Bukan lantikan tetapi sukarelawan

ANWAR menerima kunjungan Lawrence Wong di Seri Perdana, Putrajaya baru-baru ini.
- Diterbit 21 Jun 2024 9:40 AM MYT

PELBAGAI komen sinis dilemparkan kepada Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran perbincangan beliau bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong untuk menghantar guru-guru dari negara republik itu bagi mengajar bahasa Inggeris dan mata pelajaran lain di negara ini.

Perkara tersebut mendapat reaksi negatif segelintir netizen yang mendakwa Anwar lebih kepada mahu menjaga hati orang luar berbanding rakyat sendiri yang memerlukan pekerjaan.

Malah, mereka turut mengatakan graduan di negara ini terlalu ramai yang menganggur selain cadangan tersebut hanya akan menyebabkan perbelanjaan kerajaan meningkat sekali gus menyebabkan pembaziran.

Tindakan menghentam tanpa memahami maksud sebenar PM hanya membuang masa sedangkan Anwar menjelaskan pengambilan guru bahasa Inggeris dari Singapura adalah dalam bentuk program sukarelawan melibatkan kerjasama kedua-dua negara.

Dalam masa sama, beliau turut membidas cakap-cakap belakang yang tidak bersetuju dengan tindakannya itu.

“Apa yang salah? Salahnya ialah kononnya kita sekarang akan melantik guru-guru bahasa Inggeris dari Singapura – itu salah.

“Yang saya bicarakan dengan PM Singapura ialah mengadakan skim bantuan atau melantik seorang sukarelawan yang dibayar oleh pemerintah Singapura untuk pergi ke kawasan miskin bandar, desa pendalaman Sabah dan Sarawak untuk mengajar bahasa Inggeris,” katanya ketika berucap pada Himpunan Aspirasi MADANI Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) di Putrajaya baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau turut gembira apabila Lawrence menyatakan kesediaan untuk menimbangkan permintaan tersebut.

“Kami memang ada berbincang mengenai kemungkinan Singapura menimbangkan permintaan saya agar menghantar guru-guru bagi mengajar bahasa Inggeris atau mata pelajaran lain ke beberapa kawasan di negara ini.

“Biarlah siswazah muda membuat pilihan sendiri (mata pelajaran mana yang hendak diajar) jika boleh.

“Perkara ini bukan sesuatu yang kami rangka terlebih dahulu menerusi pegawai-pegawai terlibat.

“Cuma, kita cuba buktikan bahawa adakalanya perdana menteri boleh buat keputusan tertentu sebelum memaklumkan kepada menteri berkaitan,” ujar beliau.

Terdahulu, Anwar menerima kunjungan Lawrence Wong di Seri Perdana, Putrajaya sempena kunjungan PM Singapura itu ke Malaysia buat kali pertama. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas