TINDAKAN Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menolak memorandum persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang mewajarkan Kerajaan Persekutuan menyalurkan sumber kewangan itu kepada pihak lain.
Perkara itu ditegaskan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan yang mencadangkan kerajaan mewujudkan Penyelaras Parlimen di kawasan pembangkang agar peruntukan itu dapat disalurkan melalui badan berkenaan.

Malah beliau turut memberi cadangan peruntukan yang ditolak pembangkang itu diberikan kepada agensi-agensi daerah serta pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya kebajikan rakyat di kawasan terlibat tidak terabai.
“Kalau tak mahu, tidak mengapa, Kerajaan Persekutuan boleh salurkan peruntukan berkenaan kepada agensi-agensi yang ada. Contohnya wujudkan Penyelaras Parlimen di kawasan Parlimen dikuasai pembangkang itu.
“Namun apa yang dikesali adalah, ini (peruntukan) masih di peringkat perbincangan, kenapa semuanya hendak didedahkan kepada media? Sebab itu ia dipanggil perbincangan, tak puas hati, duduk semula (berbincang),” katanya kepada Wilayahku.
Beliau kemudiannya merujuk fakta ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob daripada Barisan Nasional (BN) menjadi Perdana Menteri pada 2021.
“Kita, Pakatan Harapan (PH) ketika itu pembangkang dan banyak kali berbincang dengan Perdana Menteri berkait soal peruntukan. Itulah dinamakan perbincangan. Seperkara lain, terma dahulu dan sekarang tak sama,” katanya.
Mohd Sany turut menempelak pembangkang yang mempersoal isu pengisytiharan harta dan perkara berkaitan bangsa, agama dan raja-raja (3R) yang terkandung di dalam MoU terbabit.
“Perkara yang didedahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, soal isytihar harta, apa masalahnya? Bukan susah mana pun nak ikut apa yang ada dalam MoU itu.
“Jangan menyentuh soal 3R, jangan buat fitnah atau caci maki, tiada apa yang salah (dalam MoU berkenaan). Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu patuh kepada raja dan negara, ini negara kita, jangan semai benih perpecahan.
“Tiada apa yang salah (sehinggakan hendak menolak MoU),” katanya. – WILAYAHKU