Berita

Cadang subjek SDG kepada pelajar sekolah – Zaliha

- Diterbit 8 Ogos 2024 2:48 PM MYT

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa mencadangkan pendidikan berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) wajar diperkenal diperingkat sekolah.

Menurut Zaliha, pihaknya bersedia bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memastikan subjek SDG ini boleh diajar di sekolah seluruh negara.

“Setakat ini silibus SDG memang sudah ada di sekolah-sekolah, namun ia dalam skala kecil, jadi kita akan berbincang terus bersama pihak KPM.

“Kita mahu menjadikan subjek SDG secara formal atau ‘informal’ di mana akhirnya anak-anak boleh mengetahui kefahaman dan pendidikan kelestarian,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi turun padang ke tapak cadangan Pusat SDG, Bangunan Kuala Lumpur City Gallery (KLCG), di sini.

Bangunan KLCG iaitu Bangunan Pustaka Peringatan Kuala Lumpur dicadangkan sebagai lokasi baharu bagi Pusat SDG Kuala Lumpur dalam usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melebarkan lagi fungsi dan ruang Pusat SDG yang sedia ada.

Sementara itu, Zaliha turut memaklumkan, SDG Centre Kuala Lumpur bukan sahaja yang pertama di Malaysia malah pertama di Asia Pasifik dan mendapat pengiktirafan United Nations Human Settlement Programme (UN-Habitat).

“Pelebaran fungsi dan ruang SDG Centre Kuala Lumpur ini adalah sebagai salah satu inisiatif DBKL untuk melengkapkan ekosistem SDG Centre yang tidak hanya tertumpu kepada ruang pameran sahaja tetapi turut mempunyai pelbagai ruang yang menyokong usaha merakyatkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).

“Pembangunan SDG Centre baharu itu dijangka siap dalam tempoh tiga ke empat tahun dan pihaknya akan menjalin kerjasama dengan Jabatan Warisan Negara untuk memastikan proses pemuliharaan bangunan warisan di situ dapat dikekalkan,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas