Berita

Cabul hak bersuara tindakan bacul

- Diterbit 9 Ogos 2024 9:30 AM MYT

TINDAKAN menurunkan hantaran berkaitan ucapan takziah oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas Ketua Biro Politik Hamas, Allahyarham Ismail Haniyeh di aplikasi media sosial disifatkan sebagai mencabuli hak kebebasan bersuara di negara ini.

Selebriti terkenal, Datuk Aznil Nawawi berkata ia juga dilihat sebagai satu pencabulan terhadap hak untuk menyampaikan perasaan serta penghormatan terhadap perjuangan panglima yang syahid dalam membebaskan tanah air mereka daripada cengkaman penjajah.

“Tindakan Meta Platforms Inc (Meta) menurunkan hantaran yang tidak mempunyai unsur provokasi atau mencela mana-mana pihak itu dianggap sebagai menggugat kebebasan bersuara sesebuah negara.

“Meta seolah-olah memperkotak-katikkan usaha Malaysia mengelola platform media sosial dalam memerangi jenayah siber dengan melanggar etika kebebasan bersuara.

“Saya berharap Meta mengambil langkah untuk memastikan insiden seumpama ini tidak berulang di masa hadapan, dengan menghormati hak pengguna untuk menyampaikan mesej yang berunsurkan kasih sayang dan penghormatan,” katanya ketika dihubungi Wilayahku pada Selasa.

Dalam masa sama, Aznil berkata Meta juga sepatutnya menghormati kenyataan yang dikeluarkan Perdana Menteri kerana ia merupakan pandangan rasmi sebuah kerajaan dan negara yang berdaulat.

“Tindakan Meta juga dilihat sebagai penghinaan kepada perjuangan rakyat Palestin dalam mengejar keadilan dan hak asasi manusia,” ujarnya.

Sebelum ini, beliau turut menyatakan hasrat untuk bertemu dengan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil susulan tindakan Meta yang menurunkan hantaran berkaitan Palestin menerusi platform media sosial milik syarikat berkenaan.

“Pertemuan itu bagi mengemukakan cadangan mewujudkan aplikasi media sosial yang khusus untuk kegunaan rakyat Malaysia sebagai respons bagi menyelar tindakan berkenaan.

“Saya ingin berjumpa dengan Menteri Komunikasi untuk kita wujudkan aplikasi media sosial sendiri. Tidak perlu pun aplikasi berkenaan popular hingga mendapat tumpuan masyarakat luar negara. Paling penting, kita ada pengikut dalam kalangan rakyat Malaysia sahaja.

“Idea tersebut tercetus selepas Meta sudah mula mengeluarkan amaran akan mencuci konten-konten yang ada kaitan dengan Palestin (mengutuk Israel). Bagi saya ini adalah satu tindakan mengekang kebebasan bersuara sedangkan kita banyak menggunakan platform media sosial untuk memberi kesedaran kepada rakan-rakan, pengikut dan pengguna tentang apa yang berlaku di sana.

“Jadi kalau suara sebegini disekat dan sehinggakan posting oleh Perdana Menteri sendiri dibawa turun, saya rasa mereka dah begitu berani, biadap, tidak menghormati hak pengguna dan disebabkan itu saya secara spontan memikirkan apa kata kita wujudkan media sosial kita sendiri, kita keluar ramai-ramai daripada platform itu dan ajar mereka bahawa mereka yang memerlukan kita bukan kita yang memerlukan mereka,” tegasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas