BARU berusia 35 tahun dan umum menganggapnya ‘setahun jagung’ dalam dunia politik, Ahli Parlimen Sandakan, VIVIAN WONG SHIR YEE beriltizam mahu mengangkat nama Sandakan menjadi destinasi utama pengembangan ekonomi mahupun pelancongan.
Mewarisi kerusi Parlimen itu daripada mendiang bapa, Datuk Stephen Wong Tien Fatt selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan pada Mei 2019, Yang Berhormat (YB) Vivian juga mahu meneruskan janji-janji mendiang dan melihat Sandakan yang memiliki lebih 100,000 orang penduduk itu maju.
Paling penting, beliau komited memastikan Sandakan terus berada dalam keadaan selamat dengan jalinan strategik agensi keselamatan melalui Perintah Kawalan Pergerakan Eastern Sabah Safety Zone (ESS ZONE).
Kepada wartawan Wilayahku, METRA SYAHRIL MOHAMED, beliau mengakui masih merindui kerjaya sebagai guru prasekolah, namun lapangan kariernya sekarang turut menuntutnya mendidik serta membantu rakyat dengan sebaik-baiknya.
‘Mewarisi’ kerusi Parlimen Sandakan daripada mendiang bapa, bagaimana YB melihat Sandakan secara keseluruhannya terutama dalam aspek sosioekonomi?
Sandakan sedang mengalami perubahan sosioekonomi dengan fokus kepada pembangunan sektor pelancongan, industri perikanan dan industri memproses makanan.
Sungguhpun begitu, kita masih menghadapi beberapa cabaran dalam meningkatkan taraf hidup bagi semua lapisan masyarakat.
Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, apa keistimewaan Sandakan yang perlu diketengahkan?
Sandakan sebagai destinsi yang menawarkan pengalaman pelancongan unik, autentik dan berkelestarian. Ia dapat menarik lebih ramai pelancong luar untuk melawat dan meneroka keindahan semula jadi serta kekayaan budaya yang dimiliki.
Bagi saya Sandakan mempunyai alam flora dan fauna yang istimewa. Dengan adanya Pusat Rehabilitasi Orang Utan, Sun Bear, Rainforest Discovery Centre, Pulau Penyu Selingan. Taman Pulau-Pulau Penyu (TPPP) Sandakan yang diwujudkan sejak 47 tahun lalu kini menjadi lokasi pendaratan penyu terpenting di Asia Tenggara.
Bagaimana pula dengan aspek keselamatan di Sandakan, lebih-lebih lagi perintah berkurung dijenamakan semula kepada Perintah Kawalan Pergerakan ESS Zone?
Buat masa ini, barisan hadapan kita sedang bertugas memastikan keselamatan sempadan di pesisir pantai terjamin, tambahan sekarang peningkatan operasi keselamatan, ESS Zone telah menjadi komponen utama memastikan keselamatan di timur Sabah, namun langkah-langkah pemantauan dan pengawasan terus dilaksanakan bagi mengatasi ancaman yang mungkin timbul. Laporan ESS Zone kekal stabil dengan tiada insiden penculikan berlaku sejak Februari 2020 hingga kini.
Penelitian YB mengenai aspek bekalan air, kualiti jalan raya dan juga elektrik di Sandakan? Memuaskan?
Sandakan seperti kebanyakan bandar-bandar lain di Malaysia, menghadapi cabaran dalam aspek infrastruktur seperti bekalan air, jalan raya dan lampu jalan. Walau bagaimanapun, usaha memperbaiki keadaan ini sedang dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri.
Penambahbaikan di kawasan luar bandar dan usaha pemantauan berkala adalah penting untuk memastikan kualiti hidup yang lebih baik dan peningkatan daya tarik Sandakan sebagai destinasi pelancongan serta kawasan yang sesuai untuk kediaman dan perniagaan.
Sabah berkeluasan 73,620 kilometer persegi juga negeri kedua terbesar di Malaysia. Oleh itu, memang ada kekangan untuk kerajaan dari segi peruntukan membaiki semua infrastruktur asas seperti paip air usang dan menaik taraf jalan raya kampung dengan serta-merta.
Tetapi dengan usaha Kerajaan MADANI, kami nampak perubahan yang ketara di mana semua anggota kerajaan fokus untuk membangunkan infrastruktur Sabah.
Dari segi ekonomi, apa kekuatan yang ada pada Sandakan?
Sandakan kaya dengan makanan laut yang segar di mana hasil lautan ini dieksport ke luar negara seperti Singapura, Hong Kong dan China.
Ia juga salah satu tujuan pelancong melawat ke Sandakan, menghayati makanan laut yang segar dengan harga berpatutan.
Selain itu, Sandakan mempunyai tempat-tempat pelancongan yang menarik bagi menambah ekonomi Sandakan seperti alam flora fauna yang luas. Kita juga menerima lawatan memberangsangkan daripada universiti di mana mereka menjalankan kajian lapangan mengenai alam semula jadi.
Banyak kes seludup, jual telur penyu secara haram dilaporkan di Sandakan. Bagaimana YB melihat perkara ini?
Di Sandakan pihak berkuasa telah mengeluarkan notis melarang penjualan telur penyu kerana ini akan menjejaskan habitatnya. Usaha pemuliharaan dan penguatkuasaan undang-undang perlu diteruskan untuk melindungi spesies itu. Kita juga berusaha menyedarkan semua pihak mengenai usaha ini.
YB baru sahaja berusia 35 tahun. Apa yang YB lakukan dalam melatih anak muda meminati politik?
Untuk menarik minat anak muda dalam politik, pendekatan yang lebih inklusif, terbuka dan berfokus pada isu-isu yang relevan dengan kehidupan mereka adalah penting. Menggunakan media sosial, memberikan ruang untuk penglibatan langsung serta menawarkan penyelesaian yang praktikal dan berdaya saing adalah kunci utama untuk menggalakkan anak muda mengambil bahagian secara aktif dalam proses politik.
Selain itu, adalah penting untuk kita memahami minat dan keperluan mereka.
Semasa menjadi calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, YB pernah mengatakan mahu menunaikan janji yang tidak sempat diselesaikan oleh mendiang bapa. Apa janji-janji tersebut dan bagaimana dilaksanakan atau sudahkah ia dilaksanakan?
Janji saya ialah untuk menyuarakan isu-isu yang berbangkit di sekitar Sandakan. Saya tidak putus asa membawa masalah yang dihadapi rakyat ke Parlimen sehingga selesai. Salah satu pencapaian yang mendiang bapa sempat lakukan adalah kelulusan pemanjangan landasan Lapangan Terbang Sandakan supaya kapal terbang yang lebih besar dapat mendarat. Walaupun mendiang bapa tidak sempat menyaksikan kejayaan projek itu, saya yakin semua warga Sandakan menghargai usaha beliau.
Tanggungjawab saya sekarang bersama Kementerian Pengangkutan adalah menarik lebih banyak penerbangan ke Sandakan. Kita berjaya mendapatkan Malindo Air, Royal Brunei, FireFly dan Batik Air untuk mendarat di Sandakan. Oleh kerana pandemik Covid-19, beberapa usaha tergendala tetapi kami tidak akan putus asa. Sebab saya tahu, ramai warga Sandakan bekerja dan menuntut di Semenanjung. Dengan lebih banyak penerbangan akan memudahkan mereka balik kampung.
YB juga pernah membangkitkan isu pendatang asing tanpa izin (PATI) khususnya di Sabah. Apakah isu ini diselesaikan secara baik?
Sebagai seorang Ahli Parlimen dari Sabah, saya prihatin dengan isu pendatang asing tanpa izin dan juga tanpa kerakyatan yang sudah lama berlarutan. Saya menyeru kerajaan mengetatkan kawalan keselamatan di sempadan. Semua penguat kuasa perlu menjalankan tugas dengan baik. Saya juga mencadangkan kerajaan menaik taraf teknologi seperti radar dan kamera litar tertutup (CCTV) untuk menangani isu PATI.
Sejauh mana langkah YB selepas ini dalam politik?
Selagi masih mampu menjalankan tugas saya akan terus berkhidmat. Tetapi bila sampai masanya, saya akan mengundur diri dan menceburi semula pekerjaan guru prasekolah. Sebelum ini saya seorang guru prasekolah sebelum saya menjadi pegawai khas Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Sabah. Saya masih rindu mendidik murid prasekolah, oleh itu saya treat rakyat saya seperti murid saya juga. Mendidik dan membantu mereka sebaik-baiknya. – WILAYAHKU