STATISTIK menunjukkan jenayah yang melibatkan nyawa kanak-kanak amat membimbangkan. Menurut Rozita Che Wan (Che Ta), bahaya jenayah terdedah kepada kanak-kanak di mana sahaja.
“Tak dinafikan, cabaran ibu bapa sekarang sangat besar. Sekarang banyak kejadian jenayah yang melibatkan kanak-kanak yang tidak berdosa dan naif. Di mana-mana sahaja boleh berlaku tanpa kita sangka.
“Disebabkan itulah saya jarang sangat ‘beritahu’ di media sosial di mana saya berada. Maksud saya keadaan atau lokasi semasa di mana saya dan keluarga berada.
“Misalnya kalau saya dan anak berada di Petaling Jaya, saya akan late post. Bukannya membuat hantaran itu pada masa saya berada di tempat acara itu.
“Jadi orang ingat kami berada di situ tetapi sebenarnya kejadian itu telah berlalu. Bukan apa, apabila terlalu terbuka bercerita dalam media sosial, ia sebenarnya berbahaya. Kita tidak tahu niat orang di luar sana.
“Tidak salah berkongsi gambar anak-anak dalam media sosial, cuma kita kena berhati-hati. Janganlah dikongsikan maklumat terlalu terperinci. Sekarang zaman media sosial. Apa yang berlaku boleh diketahui hanya di hujung jari.
“Kadang-kadang buat live atas tuntutan kerja. Namun apa-apa pun kena berhati-hati, bincang dengan suami atau ahli keluarga apa yang patut dilakukan agar sentiasa selamat.
“Dalam masa yang sama, janganlah terlalu dedahkan anak di media sosial untuk menghindari jenayah yang semakin berleluasa sekarang. Macam saya cakap tadi, jangan terlalu kongsi keadaan semasa kita,” jelasnya – WILAYAHKU