BAGI warga Wilayah Persekutuan (WP), nama yang popular kini ialah Dr Zaliha Mustafa. Sejak diumum sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dalam rombakan Kabinet pada 12 Disember lalu, nama Dr Zaliha mula menjadi bualan dalam kalangan warga WP Kuala Lumpur khususnya.
Nama Ahli Parlimen Sekijang, Johor itu bukan asing kerana sebelum ini telah memegang jawatan Menteri Kesihatan. Namun barangkali ramai teruja kerana ini kali pertama seorang wanita diberi tanggungjawab menerajui Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Untuk rekod, pentadbiran ketiga-tiga WP sebelum ini diletak di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan. Namun kementerian berkenaan dimansuh selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 2022 dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan taraf Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).
belum terlalu lewat mengucapkan tahniah dan selamat datang kepada Dr Zaliha untuk mengemudi WP yang serba mencabar. Ini selaras dengan kedudukan Kuala Lumpur sebagai ibu negara serta pusat kewangan dan ekonomi negara.
Putrajaya pula pusat pentadbiran negara yang pesat membangun sementara Labuan ialah pusat kewangan pesisir pantai. Ketiga-tiga wilayah memerlukan perhatian berterusan serta perancangan pembangunan yang teliti untuk memastikan kebajikan warganya sentiasa terpelihara.
Ini antara cabaran utama bagi Dr Zaliha, masalah perumahan bagi golongan berpendapatan rendah atau B40 di ibu kota masih serius. Kelompok ini menaruh harap kepada rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana harga sewa atau jualan dalam jangkauan kemampuan.
Kesesakan lalu lintas pula sudah menjadi pakaian harian penduduk ibu kota. Jumlah kenderaan bertambah dengan banyak setiap minggu, bulan dan tahun berbanding pembinaan jalan baharu atau menambah baik jalan sedia ada. Kerana itu kesesakan lalu lintas sukar diatasi sepenuhnya.
Pada perkiraan kawan-kawan Kedai Kopi, satu cara yang boleh Dr Zaliha lakukan ialah menggalakkan lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam. Namun sistem pengangkutan awam mesti lebih berkesan. Menyediakan laluan khas bas seperti sekarang dilihat satu cara yang boleh membantu.
Beberapa isu lain juga memerlukan perhatian Dr Zaliha. Ini termasuk isu banjir, penjaja, kemudahan awam, kebersihan dan sebagainya. Beri sedikit masa kepada Dr Zaliha memahami dan menghadam isu ini semua.
Insya-Allah dengan bantuan para pentadbir serta semua pihak berkepentingan di Wilayah Persekutuan, tugas akan lancar.