Berita

Burung merbuk berkicauan

PENCINTA burung seluruh Malaysia dijemput hadir bagi memeriahkan Pertandingan Seni Suara Burung Merbuk dan Tekukur Putrajaya.
- Diterbit 6 September 2024 4:20 PM MYT

PENCINTA burung seluruh Malaysia dijemput hadir bagi memeriahkan Pertandingan Seni Suara Burung Merbuk & Tekukur Putrajaya yang akan diadakan di Padang Semarak, Taman Wetland Putrajaya pada 8 September ini.

Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, penganjuran acara tersebut bertujuan sebagai platform bagi mengumpul semua penggemar burung merbuk di dalam dan luar negara untuk berkunjung ke pusat pentadbiran kerajaan itu.

“Setelah berjaya menganjurkan pertandingan di peringkat kebangsaan dan ASEAN pada penganjuran sebelum ini, pihak PPj berhasrat untuk meneruskan lagi acara ini pada tahun ini dan tahun-tahun akan datang.

“Penganjuran Gurindam Merbuk Putrajaya bagi tahun 2024 pada kali ini menarik lebih ramai lagi penyertaan dan pengunjung yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan peringkat golongan sasar dari dalam dan luar negara.

“Padang Semarak di Taman Wetland dijadikan lokasi Taman Burung Merbuk sekali gus sebagai tapak bagi Pertandingan Seni Suara Merbuk yang merupakan acara bulanan di Putrajaya,” ujarnya.

Di samping itu, beliau berkata pertandingan yang bermula pada pukul 8.30 pagi itu dilaksanakan untuk memberi peluang khususnya kepada warga Putrajaya dan kawasan sekitarnya untuk mendapatkan pendedahan dan pengetahuan berhubung dengan teknik dan kaedah terbaik penjagaan burung merbuk selain membudayakan seni suara merbuk yang menjadi salah satu tradisi warisan negara ini.

“Penganjuran Gurindam Merbuk Putrajaya pada kali ini menjangkakan lebih banyak penyertaan pengunjung tempatan serta luar negara ke Wilayah Persekutuan Putrajaya.

“Keunikan dan kelunakan melodi suara merbuk ini mempunyai daya tarikan serta peminatnya yang tersendiri,” ujarnya penganjuran program tersebut merupakan kerjasama pihak PPj bersama Jabatan Landskap & Taman serta rakan strategik iaitu Persatuan Seni Suara Merbuk Dan Tekukur Malaysia.

Terdapat aktiviti-aktiviti jualan produk untuk burung seperti sangkar selain turut berpeluang untuk mendapatkan khidmat nasihat berkaitan aspek penjagaan burung merbuk.

Terdahulu, Pertandingan Seni Suara Merbuk (Peringkat ASEAN) 2016 turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) kerana menerima sebanyak 1,237 penyertaan burung merbuk sekali gus menjadikan ia bilangan terbanyak dalam acara seumpamanya di Malaysia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas