Berita

Buruh paksa: KESUMA siasat, selesai isu majikan gagal, lewat bayar gaji pekerja

- Diterbit 25 Oktober 2024 11:04 AM MYT

SEBANYAK 76 aduan berhubung buruh paksa telah diterima Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia pada 2023 sehingga 31 Ogos lalu.

Menurut Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), kesemua aduan itu adalah berkaitan kegagalan dan kelewatan bayaran gaji pekerja, tidak diberikan cuti tahunan, tidak diberi cuti sakit dan penginapan pekerja yang tidak kondusif.

Katanya, aduan terbabit telah disiasat dan selesai diambil tindakan.

Bagi menangani amalan buruh paksa di tempat kerja, KESUMA melalui Jabatan Tenaga Kerja telah melaksanakan tindakan penguatkuasaan undang-undang perburuhan di bawah Akta Kerja 1955 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Bagi tahun 2018 hingga 2022, sebanyak 43 kes aduan buruh paksa telah diterima oleh Jabatan Tenaga Kerja.

“Kebanyakan aduan adalah berkaitan dengan isu penahanan gaji ke atas pekerja dan kesemua aduan tersebut diselesaikan oleh pihak jabatan.

“Peruntukan baharu mengenai buruh paksa telah diwujudkan di bawah Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2021 yang dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2023,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

KESUMA menjawab soalan Tan Hong Pin (PH-Bakri) mengenai jumlah aduan buruh paksa yang diterima dan diselesaikan.

Menurut kementerian itu, tafsiran dan elemen buruh paksa yang terkandung di dalam Seksyen 90B Akta Kerja 1955 adalah sejajar dengan empat petunjuk atau indikator utama buruh paksa sebagaimana terkandung dalam Konvensyen ILO No. 29.

Ia mengandungi penganiayaan golongan rentan; penipuan; ancaman dan ugutan serta sekatan pergerakan.

Katanya, walaupun takrifan buruh paksa ini tidak meliputi 11 petunjuk atau indikator, namun petunjuk-petunjuk yang lain dimasukkan di bawah peruntukan dan perundangan sedia ada seperti Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Akta Pasport 1966.

“Dalam hal ini, Malaysia telah menunjukkan usaha yang jelas untuk memperkuat undang-undang mengenai buruh paksa dan menyesuaikan dasar dengan standard antarabangsa termasuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

“Pada masa ini juga, KESUMA sedang menilai semula pelaksanaan penguatkuasaan berhubung buruh paksa di bawah Akta Kerja 1955 yang telah dikuatkuasakan pada Januari 2023.

“Dalam hubungan ini, KESUMA juga sedang mengkaji semula Pelan Tindakan Buruh Paksa Kebangsaan 2021-2025 (NAPFL) bagi menambah baik strategi dan mengukuhkan pelaksanaan,” katanya.

Tambah KESUMA, penerusan pelan tindakan itu akan menepati obligasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang ditandatangani kerajaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas