POLIS Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka 10 kertas siasatan di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 berhubung isu buruh paksa dikaitkan organisasi GISBH.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia hasil laporan polis yang diterima daripada beberapa individu yang pernah bekerja dengan organisasi berkenaan.
Dalam perkembangan lain katanya, PDRM juga sedang menjalankan siasatan ke atas maklumat yang dimuat naik melalui akaun Facebook Pusat Kajian Ajaran Sesat (Pukas).
“Ia mendakwa wujudnya pusat kuarantin GISBH di beberapa lokasi di dalam dan luar negara.
“Pusat kuarantin ini dipercayai merupakan tempat indoktrinasi dan penderaan mental terhadap ahli-ahli GISBH yang bermasalah,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau memberitahu, selain itu PDRM sedang giat mengesan aset-aset yang dikaitkan atau dimiliki oleh GISBH bagi membantu siasatan.
Berhubung kenyataan media bertarikh 25 September lalu yang menyatakan GISBH tidak pernah membayar cukai berkaitan, katanya, ia merujuk kepada tahun taksiran terkini yang sedang disiasat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan kerjasama PDRM.
“Siasatan ini memfokuskan kepada beberapa syarikat di bawah GISBH yang dipercayai gagal mematuhi beberapa peruntukan Akta Cukai Pendapatan 1967,” katanya. – WILAYAHKU