Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR
KES buli yang dilaporkan berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bukanlah satu berita yang boleh diambil mudah dan sememangnya kejadian itu mencuri perhatian ramai serta mendapat kritikan meluas.
Situasi berkenaan seolah-olah menjadi trend di institusi berkenaan selepas beberapa kes dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana ia sudah melibatkan nyawa dan kecederaan parah.
Lebih menyedihkan, apabila budaya buli ini wujud di beberapa institusi pengajian tinggi di Malaysia yang sepatutnya menjadi tempat selamat dan kondusif untuk pembelajaran.
Menurut Peguam, Mohd Yazid Sa’at, keadaan tersebut memerlukan tindakan yang tegas dan menyeluruh daripada semua pihak termasuk saksi kejadian untuk melaporkan di mana-mana lokasi terutamanya jika melibatkan
pelajar.
“Hari ini, isu buli semakin membimbangkan kerana boleh berlaku tanpa batasan waktu dan tempat. Sama ada fizikal atau siber, buli mempunyai kesan psikologi dan emosi mendalam terhadap mangsa.
“Mangsa buli sering mengalami masalah kesihatan mental seperti kemurungan, kebimbangan dan gangguan stres pasca trauma (PTSD). Mereka mungkin menghadapi masalah dalam akademik dan sosial, termasuk kesukaran mempercayai orang lain dan membina hubungan sihat.
“Akses kepada perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikologi perlu diperluas serta dipertingkat bagi meningkatkan kesejahteraan emosi pelajar.
“Selain itu, usaha bersepadu daripada semua pihak termasuk institusi pendidikan, keluarga, masyarakat dan pihak berkuasa adalah penting untuk mencegah dan menangani isu buli secara menyeluruh,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata sukar atau tidak untuk membuktikan berlakunya sesuatu perbuatan buli itu bergantung kepada fakta kes dan bahan bukti.
“Kedua-dua elemen itu menjadi penentu penting kepada sesuatu hukuman atau pertuduhan selanjutnya.
“Ada kes di mana terdapat saksi atau bukti dokumen contohnya, mesej ugutan atau kata-kata kesat di media sosial. Maka dalam situasi ini, lebih mudah untuk perbuatan buli itu dibuktikan oleh doktor yang menjadi mangsa.
“Namun adakalanya, buli dibuat secara tersirat atau di dalam keadaan yang mana tiada bukti jelas, sebagai contoh ugutan dibuat di bilik di mana hanya mangsa dan pembuli sahaja yang ada.
“Dalam keadaan ini, tidak dinafikan ia sedikit sukar untuk membuktikan wujudnya insiden buli tersebut namun ia bukan bermakna langsung tiada kes untuk dibangkitkan pengadu,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Mohd Yazid berkata laporan atau tindakan undang-undang masih boleh diambil terhadap pembuli, namun ia mungkin tidak bersifat begitu terus-terang berbanding kes yang mempunyai bukti kukuh.
“Soalnya sama ada mereka yang dibuli tersebut mahu mengambil tindakan atau tidak sahaja.
“Saya juga ingin menasihatkan mangsa buli supaya tidak menyembunyikan kes yang berlaku, meluahkan perkara berkenaan kepada pihak yang dipercayai.
“Jika pelajar yang dibuli tidak mengambil langkah sebegini, saya percaya ia hanya akan membuatkan pembuli bertindak secara berlebihan memandangkan tiada implikasi negatif terhadapnya. Malah, kebiasaannya pembuli juga hanya akan membuli pihak yang dianggap sebagai lemah atau tidak melawan,” ujar beliau.
WUJUD UNDANG-UNDANG LEBIH BERKESAN
SEBARANG usaha yang ingin diambil tanpa adanya peruntukan undang-undang lebih berkesan tidak akan membawa sebarang kesan positif.
Mohd Yazid berkata bagi membendung kegiatan buli daripada berterusan khususnya di sektor pendidikan, kerajaan boleh meminda sebarang peruntukan undang-undang sedia ada seperti Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) ataupun mewujudkan terus sebuah ‘Akta Antibuli’.
“Kerajaan boleh merujuk peruntukan undang-undang yang ada di United Kingdom dan Amerika Syarikat terhadap isu ini.
“Dengan adanya peruntukan undang-undang, semua pihak dalam negara kita akan mengambil serius terhadap isu buli ini serta mengelakkan diri mereka daripada terjebak,” ujarnya.
Beliau menegaskan, melalui peruntukan undang-undang tersebut ia boleh memastikan setiap tempat memiliki polisi antibuli yang lebih jelas, seragam dan sesuai.
“Dengan adanya undang-undang khusus terhadap perkara itu juga, hukuman setimpal dapat diberikan kepada pesalah buli.
“Isu buli tidak boleh dipandang sebelah mata serta hanya diberi perhatian jika berlaku sesuatu insiden buli seperti yang terjadi baru-baru ini.
“Ia memerlukan komitmen tinggi semua pihak baik pensyarah, guru, ibu bapa atau pelajar sendiri bagi memastikan semua institusi pendidikan dalam negara kita menjadi gedung ilmu dan bukannya tempat untuk melahirkan generasi samseng,” ujarnya.
Tambah beliau, perbuatan membuli sama ada untuk berseronok atau kerana benci tidak sepatutnya menjadi amalan biasa atau budaya yang menunjangi institusi pendidikan negara.
“Bagi menangani masalah buli juga semua sekolah dan universiti perlu mempunyai peraturan yang jelas berkaitan buli. Ia perlu diuar-uarkan setiap masa bukan setakat diucapkan setiap awal tahun ketika sesi pembukaan persekolahan atau semasa majlis suai kenal masuk ke universiti.
“Pihak pengurusan sekolah dan universiti digalakkan menampal poster antibuli di dalam sekolah dan kampus universiti masing-masing serta mengedarkan risalah antibuli kepada setiap pelajar untuk dibaca bersama dengan ibu bapa atau penjaga.
“Budaya buli memberi ancaman kepada seseorang sekiranya ia tidak ditangani segera. Satu jawatankuasa khas perlu ditubuhkan bagi menangani isu buli khususnya dalam bidang pendidikan. Akta tersebut perlu diteliti secara menyeluruh dengan memeriksa aspek perundangan yang berkaitan dan melaksanakan pindaan yang perlu pada undang-undang,”
ujarnya. – WILAYAHKU