Selebriti

Buli siber: Nyawa tidak dapat dikembalikan

- Diterbit 12 Julai 2024 5:20 PM MYT

BAGI Shuk Sahar yang pernah melalui saat-saat dikecam rentetan kontroversi yang melandanya sebelum ini berpendapat buli siber seakan sudah menjadi normal dalam kehidupan seharian.

“Perkara (komen negatif dalam media sosial) ini sudah menjadi kebiasaan. Ia sudah menjadi normalisasi untuk kita bersuara atau hentam apabila berasakan seseorang itu tidak betul. Kalau boleh apabila nak bercakap atau menulis dalam media sosial, berfikirlah terlebih dahulu.

“Kalau seseorang individu itu salah sekalipun, macam mana kalau suatu hari nanti, keluarga kita berada dalam situasi itu. Malah dihentam seperti itu,” katanya.

Menurut Shuk yang bakal muncul dengan rancangan Dol’s Podcast, kecaman-kecaman yang dilemparkan kepada mana-mana artis atau individu lain pasti memberi kesan buruk apabila mangsa sukar menanganinya.

“Tak semua orang boleh hadap. Memang kita ada kebebasan bersuara, tapi sebelum itu, fikirlah dahulu apa akibat daripada apa yang kita lontarkan.

“Akhirnya apabila ada yang bunuh diri, kita tak dapat nak tarik kata-kata itu. Adakah dengan padam komen dia boleh hidup semula? Sudah tentu tak boleh.

“Nasihat saya berdasarkan pengalaman lalu, kalau terima kecaman dan tidak mampu hadapinya, let it go. Nak tutup komen, tutuplah,” pesannya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas