Selebriti

Buli siber: Baby Shima harap jadikan iktibar

- Diterbit 12 Julai 2024 5:00 PM MYT

PELANTUN lagu Pura Pura Bujang, Baby Shima berharap kes yang berlaku dijadikan iktibar dan tidak diulangi lagi.

“Menyentuh bab kena kecam dan difitnah ini, saya salah seorang artis yang tidak terlepas daripada menjadi mangsa buli siber.

“Macam-macam perkataan, sindiran atau kecaman yang mereka lontarkan kepada saya. Tipulah kalau tak kecewa tapi saya kena kuat. Apabila terbaca, saya anggap seperti angin lalu sahaja.

“Saya tak boleh kawal orang nak cakap apa. Kalau boleh tidak payah baca komen. Alhamdulillah, emosi dan mental saya sikit pun tidak terganggu dan ia membuatkan saya lebih kuat menghadapi pelbagai situasi,” katanya.

Dalam masa yang sama, Shima berharap kisah pempengaruh yang disyaki membunuh diri itu menjadi peringatan buat semua.

“Puaskah netizen yang mengecam sehingga dia stres dan sanggup membunuh diri? Adakah ia satu keseronokan bagi anda?

“Sampai bila nak teruskan perbuatan buli siber ini. Nak komen atau tegur boleh, tapi janganlah sampai menghentam sehingga membawa tekanan kepada individu itu.

“Bukan sahaja kepada artis, saya yakin orang lain yang dikecam pun pasti akan terganggu emosi. Jangan sampai kerana komen kita, terjadinya perkara tidak diingini. Ketika itu, nasi sudah menjadi bubur,” ujarnya.

Shima turut berpesan agar tidak sewenang-wenangnya mengaibkan orang lain kerana perbuatan buli siber juga adalah perbuatan jenayah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas