Berita

Buli mendatangkan kecederaan, ragut nyawa tindakan tidak berperikemanusiaan – Sultan Ibrahim

- Diterbit 12 November 2024 12:30 PM MYT

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan Kementerian Pertahanan mengambil serius kejadian buli yang berlaku di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Titah Seri Paduka, hal demikian kerana kejadian itu sudah beberapa kali berlaku di institusi pengajian tinggi (IPT) tersebut sehingga meragut nyawa.

Sultan Ibrahim bertitah, budaya buli tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan pelajar tetapi juga mencemarkan reputasi IPT di negara ini.

“Di dalam pasukan tentera, latihan keras adalah perkara biasa bertujuan membina kekentalan mental dan jiwa yang kuat, seperti pernah dilalui saya sewaktu menjalani latihan ketenteraan.

“Namun ini bukan bermakna ke tahap buli atau menyeksa seseorang itu sehingga mendatangkan kecederaan fizikal atau meragut nyawa. Ini tindakan tidak berperikemanusiaan,” titah Seri Paduka.

Sultan Ibrahim bertitah demikian seperti dipetik menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Terdahulu Seri Paduka berkenan menerima menghadap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Istana Negara hari ini.

Baru-baru ini polis mengesahkan telah menerima satu laporan polis berhubung kejadian mendatang kecederaan parah melibatkan seorang pelajar Tahun 1, UPNM, Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, laporan itu diterima pada 8 November lalu pada pukul 8.40 malam.

Menurut beliau, kejadian dilaporkan berlaku pada 21 Oktober lalu, sekitar pukul 10.45 malam, ketika mangsa berada di tepi padang kawad.

Mangsa merupakan seorang pelajar lelaki berusia 19 tahun, dilaporkan telah mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang akibat kejadian dipijak oleh seorang pelatih Tahun 3 di universiti berkenaan.

Sebelum ini seorang pegawai kadet ALK UPNM mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan mencederakan juniornya menggunakan seterika wap panas, bulan lepas.

Pada 2017, kisah tragis dan kejam yang menggemparkan negara apabila pegawai kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain menemui ajal selepas dibuli, dipukul dan diseksa sehingga hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap selepas beliau dituduh mencuri sebuah komputer riba. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas