MERCU tanda baharu Labuan yang di nanti-nantikan oleh warga pulau ini kini telah dibuka sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan, semalam.
Bulatan Merdeka yang baharu itu dilengkapi dengan empat batang berbetuk seperti coral serta dilimpahi dengan pelbagai lampu berwarna warni dan pancutan air yang mengelilingi Bulatan Merdeka digambarkan sebagai keunikan dan keindahan hidupan dasar laut sesuai dengan identiti Labuan sebagai bandar maritim.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail, Bulatan Merdeka itu telah bertukar wajah baharu yang lebih menarik dengan mengetengahkan konsep maritim dengan ciri-ciri ( Morden Contemporary).
Katanya, kerja-kerja menaiktaraf bulatan itu berjaya disiapkan mengikut jadual iaitu dalam masa 11 bulan oleh pihak kontraktor tempatan.
” Alhamdulillah, malam ini kita telah secara rasminya membuka semula bulatan ini yang merupakan salah satu ikon di Labuan.
” Seperti sedia maklum, Labuan amat terkenal dengan kehidupan laut dan ianya merupakan salah satu khazanah yang ada di pulau ini dan perkara itu kita zahirkannya menerusi konsep di bulatan ini agar rakyat Labuan menghargai khazanah ini agar terus dipelihara dan seterusnya mampu menarik pelancong luar untuk ke Labuan.
” Pembukaan semula bulatan pada malam ini adalah bersempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang ke 50 tahun dan kita mahu menjadikan tarikh ini sebagai tarikh keramat bagi mengingati 40 tahun Labuan telah menjadi Wilayah Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Bulatan Merdeka yang telah berwajah baharu di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek.
Tambahnya bagi persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026, pihaknya mempunyai perancangan dan matlamat untuk menambahbaik infrastruktur termasuklah pengindahan landskap
” Untuk persiapan itu, bermula tahun ini PL telah merancang akan melaksanakan pelbagai kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur bagi menjadikan Labuan bertukar wajah yang lebih indah dan ceria,” katanya.
Terdahulu, Bulatan Merdeka yang dibina sekitar tahun 1970 an kali terakhir dinaiktaraf pada tahun 1990-an yang mengetengahkan konsep alam semula jadi.- WILAYAHKU