Oleh ZULKIFLI SULONG
PERTAMA kalinya dalam sejarah hidup yang sudah melangkau angka 60-an ini, saya merasai Hari Merdeka ke-67 ini disambut paling meriah sekali.
Hampir kesemua komuniti membuat aktiviti dan acara sambutan masing-masing. Di komuniti kecil saya yang terletak di sebuah taman perumahan di Rawang, ada empat acara sambutan berlangsung.
Menjelang tengah malam sebelum 31 Ogos pula, mercun dan bunga api berdentam-dentum di langit Malaysia. Ia tanda kemeriahan sambutan tahun ini.
Yang menariknya juga, sambutan kali ini bukan sahaja diadakan oleh pihak kerajaan, jabatan dan badan-badan di bawahnya, sambutan kali ini juga dibuat oleh pihak pembangkang.
Di tempat saya, Perikatan Nasional (PN) menghimpunkan para penyokongnya pada malam menjelang 31 Ogos. Mereka menganjurkan pelbagai program atas nama sambutan kemerdekaan dengan menaikkan Jalur Gemilang.
Pendek kata semua rakyat Malaysia bersatu hati menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-67 ini.
Kemeriahan ini bagi saya datang kerana rakyat negara ini sedang bahagia dan gembira dengan negara mereka. Ia adalah perasaan yang datang sendiri, bukan dibuat-buat atau ada kempen besar-besaran dengan belanja jutaan ringgit untuk menghasilkan suasana positif dalam negara ini.
Pada setiap tahun, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menganugerahkan bandar paling bahagia di negara ini. Tahun ini Cameron Highlands dipilih sebagai bandar paling bahagia di Malaysia.
Pada tahun ini, Malaysia telah dinamakan sebagai negara yang ke-5 paling bahagia di dunia. Ia berdasarkan laporan Mental State of the World yang dikemukakan oleh Projek Minda Global berdasarkan tinjauan melibatkan lebih 400,000 individu di 71 negara.
Menurut laporan organisasi penyelidikan neurosains, Sapien Labs, Malaysia di tangga ke-5 dengan mencatatkan 85 peratus.
Saya yakin, kalau ada pihak yang mengukur tahap kebahagiaan rakyat negara ini, maka bulan Ogos atau September 2024 ini adalah antara bulan paling bahagia dan penuh harapan untuk rakyat negara ini.
Sebelum ini, sebaik sahaja Barisan Nasional (BN) diumumkan menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata minggu ini penuh dengan berita baik dan barokah untuk Malaysia.
Antaranya pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa Keluaran Negara Kasar Malaysia (KDNK) meningkat 5.9 peratus untuk suku kedua tahun ini, melepasi jangkaan awal 5.8 peratus.
Ia adalah peningkatan sebanyak 1.7 peratus berbanding 4.2 peratus yang direkodkan untuk suku pertama tahun 2024 ini.
Berita baik yang ketiga, kata Fahmi, adalah pengumuman kenaikan gaji untuk penjawat awam yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Ogos lepas.
Berita baik keempat adalah apabila Jabatan Statistik (DOSM) mengumumkan kadar inflasi yang rendah berbanding kenaikan inflasi seluruh dunia.
Kejayaan Malaysia membawa 40 rakyat Palestin yang sakit dan memerlukan rawatan bersama keluarga mereka masing-masing ke Malaysia juga menjadi berita gembira untuk rakyat negara ini selepas mereka sejak sekian lama membaca Qunut Nazilah untuk menghancurkan musuh umat Islam iaitu Israel.
Anwar pula memberikan jaminan, September ini akan penuh dengan berita gembira dan reform untuk rakyat Malaysia.
Beliau memberi gambaran September sebagai bulan pergerakan dan reform atau pembaharuan lebih besar dalam kalangan kakitangan awam.
Tegas Perdana Menteri, semua pihak perlu berusaha untuk meningkatkan kecekapan ke tahap 95 peratus.
Turut memberikan berita gembira dan harapan yang membara kepada Malaysia bulan ini adalah pengumuman keuntungan berganda yang dicatatkan oleh syarikat berkaitan kerajaan dan swasta di negara ini.
Malaysia Aviation Group (MAG) mencatatkan keuntungan bersih RM766 juta tahun lepas, iaitu buat pertama kalinya sejak tahun 2010 lalu. Ia diumumkan baru-baru ini.
Pendapatan pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula melonjak 33 peratus iaitu sebanyak RM47.86 bilion. Ia sudah tentu akan memberikan pulangan lebih besar untuk mereka yang menabung melalui KWSP.
FGV Holdings Berhad, satu lagi syarikat kerajaan, pulih dari kerugian yang dialami selama ini apabila mencatatkan keuntungan bersih RM86 juta.
TH Plantation, sebuah anak syarikat Tabung Haji pula melonjakkan keuntungan 62 peratus untuk separuh pertama tahun ini manakala Sime Darby pula memperolehi untung dua kali ganda iaitu RM3.3 billion.
Pendek kata, semua berita gembira datang menjelang sambutan Kemerdekaan Malaysia yang ke-67 ini. Jadi tidak hairanlah semua pihak meraikan kegembiraan ini melalui sambutan Hari Kemerdekaan.
Semoga Allah rahmati Malaysia dan jadikan kebahagiaan ini kekal hingga kita bertemu Allah dan seterusnya berhimpun dalam syurga-Nya, Jannah.
INI adalah pandangan penulis untuk berkongsi kegembiraan dengan rakyat Malaysia.