KEPUTUSAN Titah Adendum membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menunjukkan tiada campur tangan Eksekutif dalam badan kehakiman negara.
Perkara itu ditegaskan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang melihat prinsip pemisahan kuasa berjalan baik di negara ini.
“Dalam hal ini kredit atau pujian wajar diberi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berulang kali menjawab dan menjelaskan di dalam Parlimen atau di luar Parlimen bahawa kerajaan dan beliau khususnya sebagai Perdana Menteri tidak boleh mengganggu perjalanan prosiding mahkamah dan keputusan hakim-hakim.
“Oleh kerana (Datuk Seri) Najib telah mengemukakan permohonan pengampunan kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong maka Perdana Menteri bukanlah pihak yang terlibat secara langsung tentang keputusan Lembaga Pengampunan itu,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Hassan berkata, begitu juga apabila Najib tidak berpuas hati dengan keputusan Lembaga Pengampunan dan beberapa pihak lain dalam kerajaan termasuk Peguam Negara berkait isu Titah Adendum dan memfailkan semakan kehakiman di mahkamah maka ia sudah menjadi kes mahkamah.
Katanya, Anwar secara peribadi dan sebagai Perdana Menteri tidak boleh menjawab secara sewenang-wenangnya sama ada Titah Adendum itu ada atau tidak ada.
“Pihak yang patut menjawab di mahkamah bukan Perdana Menteri tetapi Peguam Negara atau wakilnya dari Jabatan Peguam Negara.
“Hal ini telah ditimbulkan oleh salah seorang hakim Mahkamah Rayuan yang mendengar rayuan Najib semalam.
“Seperti yang disebut oleh hakim berkenaan, bahawa pihak Jabatan Peguam Negara telah gagal memfailkan afidavit untuk menyatakan sama ada Titah Adendum itu wujud atau tidak,” katanya.
Untuk itu jelasnya, kegagalan Jabatan Peguam Negara itu tidak sepatutnya dibebankan ke bahu Perdana Menteri untuk memikulnya.
“Apakah kita mahu Perdana Menteri campur tangan dalam kerja-kerja profesional peguam-peguam kerajaan dan Peguam Negara di Jabatan Peguam Negara? Tentu kita tidak mahu Perdana Menteri terpaksa lakukan sampai ke peringkat itu.
“Melihat dan mendengar Perdana Menteri menjawab di Parlimen dalam soal pengampunan Najib dan Titah Adendum, saya sebagai seorang ahli Parlimen backbencher kerajaan nampak bahawa Perdana Menteri memahami tugasnya dan tugas Jabatan Peguam Negara dan fungsi institusi kehakiman dalam prinsip pemisahan kuasa antara badan eksekutif dan kehakiman,” tegas beliau.
Beliau memberitahu, untuk itu Anwar tidak bersalah dan tidak perlu meletakkan jawatan Perdana Menteri seperti yang dituntut oleh sesetengah pihak.
Sebaliknya jelas beliau, sikap dan pendirian Anwar yang menghormati kebebasan kehakiman dalam soal Titah Adendum ini patut dihormati dan dipuji. – WILAYAHKU
[Iklan]